Selepas 18 tahun nama Malaysia sekali lagi berkumandang di gelanggang skuasy antarabangsa semalam.

Ng Eain Yow mencipta sejarah itu di Kejohanan Skuasy Remaja Dunia yang berlangsung di Bielsko-Biala, Poland.

Berada di kedudukan 144 dunia, Eain Yow menundukkan pencabarnya - dari Mesir - Saadeldin Abouaish dengan 11-3, 9-11, 11-7, 11-5 di perlawanan akhir.

Kali terakhir atlet Malaysia menjejak kaki di perlawanan akhir kejohanan berkenaan ialah pada 2009 di Chennai, India, melalui Ivan Yuen.

Bagaimanapun Yuen terpaksa akur kepada kehebatan atlet dari Mesir, Mohamed El Shorbagy, 11–9, 12–10, 11–2.

Lapan belas tahun lalu Ong Beng Hee muncul sebagai juara Kejohanan Remaja Dunia yang dilangsungkan di Princeton, AS.

Ketika itu Beng Hee menumbangkan Wael El Hindi dari Mesir.

Tahun lalu Eain Yow berpeluang muncul juara namun langkahnya terkandas di peringkat separuh akhir. Pemain dari Peru, Diego Elias akhirnya muncul juara.

Kemenangan Eain Yow menjadi lebih bermakna kerana dia dapat membalas dendam ke atas Saadeldin yang menundukkannya di kejohanan Terbuka British awal tahun ini.

Sementara itu bagi kategori wanita atlet Mesir, Nouran Gohar, mempertahankan kejuaraannya dengan mengalahkan rakan senegara, Rowan Reda, 11-5, 11-6, 11-7.