Musim lalu, Arsenal dilihat calon terdekat untuk menjuarai EPL walaupun prestasi ala 'yo-yo' mereka ternyata terus memberi harapan palsu kepada penyokong The Gunners.

Mungkinkah musim ini giliran Arsenal mampu bertakhta di kedudukan teratas liga pada penghabisan musim?

Sepanjang musim lalu, anak buah Arsene Wenger bermula dengan tewas 0-2 kepada West Ham United sebelum perlahan-lahan melonjak hingga berada di kedudukan kedua pada minggu kelapan liga.

Pencapaian itu menjadikan Arsenal dilihat berpotensi untuk mengetepikan pesaing-pesaing lain yang selalu menguasai empat atau lima tempat teratas EPL.

Leicester City pula dianggap bukan pencabar sebenar dan ada pihak memandang mereka dengan sebelah mata saja.

Pada minggu ke-10, Arsenal menguasai kemuncak liga sebelum kembali ke tangga kedua seminggu kemudian.

Kemudian andaian menyatakan The Gunners adalah calon yang bakal menjuarai musim lalu semakin kuat apabila mula menguasai carta kedudukan.

Sepanjang minggu ke-19 hingga 22 adalah pencapaian terbaik mereka dengan kedudukan teratas.

Kena lebih fokus

Bagaimanapun, selepas itu aksi tidak konsisten membelenggu mereka. Kekalahan 0-1 berdepan Chelsea pada minggu ke-23 dan seri 0-0 diikat Southampton minggu seterusnya memaksa Arsenal turun ke posisi ketiga.

Walaupun berjaya menundukkan Leicester City 2-1 di Emirates, dua kekalahan berturut-turut selepas itu menghilangkan harapan Arsenal untuk meraih gelaran musim lalu.

Tewas 2-3 berdepan Chelsea dan 1-2 kepada Swansea City seolah-olah melenyapkan impian barisan penyokong.

Menang 10 perlawanan berturut-turut selepas itu ternyata Arsenal tetap gagal mengejar pencapaian Leicester.

Musim ini, bagi Jack Wilshere, mereka begitu bersedia untuk mengungguli pasukan lain.

"Kami perlu lebih fokus dan menghadapi setiap perlawanan dengan serius. Setelah menewaskan Leicester di gelanggang sendiri musim lalu, kami menjadi sedikit lengah," katanya seperti dilaporkan Soccerway.

Justeru kata pemain kebangsaan Wales itu, tumpuan yang lebih akan menjadi kunci musim ini.

"Kami tidak boleh kekal dan leka seperti musim lalu. Jika kami menghalang perkara itu berulang, kami akan jadi juara musim ini," kata pemain tengah berusia 24 tahun itu.