Paling Popular
Terkini
story images
story images

Percaturan Kelantan merehatkan pemain utama membawa padah apabila dibelasah Selangor 4-1 dalam aksi di Kota Bharu, sebentar tadi.

Keputusan saingan kelima kumpulan B Piala Malaysia itu juga mengesahkan tiket buat The Red Giants melangkah ke pusingan suku akhir mengiringi Kelantan.

Kedua-dua pasukan itu kini masing-masing mengutip 10 mata mengatasi Kuala Lumpur dan Pahang yang turut berada dalam kumpulan itu.

Dengan berbaki satu perlawanan nampaknya sudah terlambat untuk Kuala Lumpur dan Pahang mengatasi kedudukan Kelantan dan Selangor.

Aksi di Satdium Sultan Muhammad IV menyaksikan pasukan pelawat mudah mengawal walaupun awalnya dilihat lebih dikuasai pasukan tuan rumah.

Kelantan memperolehi beberapa peluang di awal permainan walaupun gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Ketiadaan barisan pemain import tuan rumah dan beberapa pemain kunci juga menjadikan rentak skuad The Red Warriors kurang menyengat.

Pengendalinya, Velizar Emilov Popov turut merehatkan penjaga gol utama Khairul Fahmi Che Mat diganti dengan Shahrizan Ismail.

Kelantan ketinggalan 0-1 pada minit ke-22 melalui jaringan penalti Abdul Hadi Yahya susulan kesilapan dilakukan Shahrizan mengasari pemain Selangor.

Dua minit berselang, Selangor menambah satu lagi jaringan melalui R Gopinathan hasil kelekaan pemain pertahanan tuan rumah.

Kelantan yang menurunkan ramai pemain muda dilihat turun dengan taktikal serba tidak menjadi, kelonggaran jentera tengah dan lebih banyak membuang bola melalui hantaran-hantaran jauh.

10 lawan 11 pemain

Keadaan itu memberi kelebihan kepada pasukan pelawat yang lebih mengawal rapi benteng pertahanan mereka berbanding jentera pertahanan Kelantan.

Hasilnya gol ketiga tercipta oleh import Patrick Ronaldhinho Wleh pada minit ke-27 menjadikan tiga gol berjaya dibolosi Selangor dalam tempoh lima minit.

Selepas itu Kelantan memperolehi gol tunggal mereka melalui sepakan penalti dihadiahkan pengadil perlawanan disempurnakan Wan Zaharulnizam Zakaria di minit ke-37 untuk kedudukan 1-3 separuh masa pertama.

Aksi 45 minit kedua pula bermula dengan insiden malang menimpa skuad Selangor susulan kad merah dikenakan ke atas Bunyamin Omar memaksa anak buah K Gunalan beraksi dengan 10 pemain.

Susulan itu tuan rumah kembali bangkit menguasai perlawanan malah kemasukan dua pemain berpengalaman iaitu Manaf Mamat dan Mohd Farhan Mohamad merancakan serangan Kelantan.

Bagaimanapun, Selangor mampu bertahan sebelum meraih gol keempat mereka melalui jaringan kedua Gopinathan.

Kemenangan itu menyaksikan kebangkitan semula Selangor apabila menang dua perlawanan berturut-turut selepas FAS menamatkan kontrak jurulatih Zainal Abidin Hassan, Ahad lalu.

Keputusan perlawanan lain:

Melaka Utd 2-0 Negeri Sembilan 
Pahang 2-1 Kuala Lumpur
Terengganu 0-3 Felda United

 

Lihat Komen
ADS