Perenang Singapura Joseph Schooling memenangi acara 100 meter kuak kupu-kupu lelaki untuk menyumbangkan pingat emas pertama negaranya.

Schooling menewaskan perenang idolanya dari Amerika Syarikat, Michael Phelps, yang mencatat 51.14s bersama-sama dengan perenang Afrika Selatan, Chad le Clos dan Laszlo Cseh dari Hungary.

Perenang muda Singapura itu turut memecahkan rekod 50.58s yang dicipta Phelps pada Olimpik Beijing 2008.

Phelps telah memenangi empat pingat emas di Olimpik Rio, yang merupakan sebahagian daripada 22 pingat emas yang diraihnya termasuk daripada acara 100m gaya rama-rama pada tiga temasya sama sebelum ini.

"Kepada semua dalam Pasukan Singapura - terima kasih kerana menunjukkan kepada kami apa yang dimaksudkan dengan berusaha gigih dan tidak pernah menyerah kalah dalam mencapai impian kita,"kata Lee dalam catatannya di Facebook.

Ucapan tahniah dari PM

"Anda membuat kami berasa amat bangga hari ini," kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong kepada Schooling

"Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Joseph Isaac Schooling di atas kejayaannya meraih pingat emas bersejarah, dan mencatatkan rekod Olimpik 50.39 saat untuk acara 100meter kuak kupu-kupu! Ini adalah pingat emas Olimpik yang
pertama bagi Singapura, dan pingat pertama kami di #Rio2016.

"Ia adalah satu pencapaian yang luar biasa, untuk bersaing dalam kalangan yang terbaik di dunia, kekal fokus, dan muncul juara. Tahniah sekali lagi kepada Joseph, anda membuat kami berasa amat bangga hari ini," katanya dalam entri terbarunya di Facebook.

Sementara itu, Presiden Tony Tan pula berkata:"Sejarah bersaksi dicipta hari ini!".

Beliau kini berada di Rio de Janeiro dari 11 hingga 15 Ogos untuk menyokong Pasukan Singapura di temasya Olimpik 2016.

"Tahniah kepada Joseph Schooling, kerani memenangi pingat emas dalam acara Lelaki 100m Gaya Rama-rama Olimpik dengan masa 50.39s serta memecahkan rekod Olimpik! Usaha gigih Schooling nyata telah membuahkan hasil,"katanya.

"Rakyat Singapura di tanah air pasti teruja seperti mana yang saya rasakan sekarang, untuk melihat Schooling dinobatkan sebagai yang terbaik di dunia. Kami amat berbangga dengan beliau," katanya.

Tan berkata Sukan Olimpik bukan sahaja tentang pencapaian malah merangkumi masa dan usaha gigih.

"Saya amat gembira dengan kesungguhan Schooling untuk bersaing dengan mereka yang terbaik di dunia bagi meletakkan Singapura dalam peta dunia Olimpik.Nilai-nilai yang membawanya ke tahap ini terus menjadikan beliau contoh kami,"katanya.

Selain pemimpin, rakyat Singapura bertalu-talu mengutuskan ucapan tahniah kepada Schooling dan anggota keluarganya.

Theresa Pang yang menulis dalam laman Facebook Lee berkata: "Terima kasih Joseph Schooling dan Pasukan Singapura kerana membuat Singapura berasa amat bangga! Terima kasih Encik dan Puan Schooling serta semua ibu bapa atlet kerana mempercayai anak anda dan banyak berbelanja untuk mereka. Banyak yang boleh kami pelajari daripada anda. Hari yang menggembirakan Singapura!!!"

- Bernama