Polis menahan enam penyokong bola sepak Negeri Sembilan kerana enggan bersurai dan mengeluarkan kata-kata kesat selepas perlawanan Piala Malaysia antara pasukan itu dan Melaka United, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata mereka yang berusia antara 17 dan 30 tahun itu ditahan di luar Stadium Hang Jebat di sini kira-kira pukul 11.45 malam kerana perbuatan mereka mengundang provokasi dan boleh mencetuskan pergaduhan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku apabila penyokong pasukan itu tidak berpuas hati dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.

"Anggota polis yang bertugas telah meminta mereka untuk bersurai, namun ia tidak dihiraukan sebelum tangkapan dibuat," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

Melaka United menang 2-0 menerusi dua jaringan ketua pasukan Ilija Spasojevic dalam perlawanan yang dikenali sebagai #NaningDerby dalam media sosial oleh penyokong kedua-dua pasukan.

Shaikh Abdul Adzis berkata kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan melakukan kekecohan di tempat awam.

Beliau menasihatkan penyokong bola sepak agar lebih berhemah dan profesional ketika menyaksikan perlawanan serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

-Bernama