Doa Sultan Johor iringi atlet negara di Rio
Beberapa jam sebelum pasangan beregu campuran negara bertarung untuk menggapai pingat emas - yang pertama untuk negara jika mereka berjaya - Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mendapat doa daripada seseorang yang istimewa, iaitu Sultan Johor.
Menurut Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerabat diraja Johor adalah antara jutaan warga Malaysia yang bakal menyaksikan pertandingan akhir beregu campuran malam nanti.
“Saya sekeluarga begitu bersemangat untuk menyaksikan pasangan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying beraksi dalam perlawanan akhir malam ini, dan kami mendoakan agar mereka dapat mengatasi pasukan lawan dari Indonesia serta menyumbangkan pingat emas negara yang pertama dalam sukan olimpik,” titah baginda.
Turut mendapat perhatian baginda, satu lagi pasangan beregu yang berpotensi merangkul pingat emas, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.
Pasangan itu layak ke perlawanan akhir selepas menumpaskan regu dari China, Chai Biao dan Hong Wei dengan mata 21-18, 12-21 dan 21-17 malam tadi.
Walaupun begitu untuk merangkul emas, V Shem dan Wee Kiong perlu menumbangkan satu lagi pasangan dari China, Zhang Nan dan Fu Haifeng pada malam Jumaat ini.
Sultan Ibrahim berkata kejayaan dicapai pasangan negara di peringkat separuh akhir semalam adalah "kemenangan yang luar biasa".
Malah baginda menganggap mereka adalah contoh teladan yang baik dalam sukan Malaysia.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pemain beregu lelaki badminton negara. Mereka adalah contoh tauladan terbaik dalam sukan Malaysia (kerana) mempamerkan semangat ketabahan dan kecekalan," titahnya.
Malah Sultan Ibrahim juga berbangga kerana Wee Kiong itu berasal dari Johor.
"Anda bukan sahaja mewakili Malaysia tetapi juga negeri Johor. Berikanlah persembahan yang terbaik untuk mengharumkan nama negeri Johor dan Malaysia,” titah baginda.
Untuk makluman Wee Kiong, 27, adalah anak kelahiran Bukit Gambir di Tangkak, Johor.
Bersama V Shem ketika ini mereka adalah pasangan beregu ketujuh dalam ranking dunia.
Menurut status dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim, pasangan terbabit yang sudah memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2014 adalah satu-satunya pemenang pingat yang tidak diiktirafkan sebagai gandingan pilihan di Olimpik kali ini.
Turut mendapat pujian baginda ialah penerjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang telah berjaya merangkul pingat pertama Malaysia, iaitu perak dalam acara terjun platform 10 meter seirama wanita, selain Azizulhasni Awang yang berjaya merangkul pingat gangsa melalui acara berbasikal keirin.
"Saya mendoakan yang terbaik untuk semua atlet kita yang beraksi di Sukan Olimpik Rio. Kami di sini memberi sokongan yang padu pada anda semua,” titah baginda yang begitu meminati sukan.

