Lebih 300 orang membanjiri Dataran Perbadanan Putrajaya untuk menyaksikan detik bersejarah kejayaan atlet negara di temasya Olimpik Rio 2016 malam ini.

Melalui penganjuran acara Go For Gold dan tayangan skrin gergasi oleh Kementerian Belia Dan Sukan itu, ‎bukan saja penduduk sekitar mengambil peluang itu untuk bersama-sama menyaksikan detik berkenaan, malah ada pengunjung dari Perlis turut memeriahkan program berkenaan.

Rata-rata penonton yang hadir dilihat turut memeriahkan suasana dengan kibaran Jalur Gemilang dan sorakan semangat 'Malaysia Boleh'.

Harapan emas Malaysia terbuka melalui acara beregu campura dan digalas gandingan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Satu-satunya halangan yang boleh menggagalkan misi kali ini ialah regu Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir.

‎Bagi Jurulatih Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Perlis, Mohd Annif Mat Aman, kesempatan menyertai kejohanan di Putrajaya dimanfaatkan dengan membawa pemainnya menonton siaran langsung perlawanan akhir.

"Sempena penganjuran program ini kami bawa pemain-pemain untuk turut sama menyaksikan perlawanan akhir pada malam ini.

"Insya-Allah, dengan doa seluruh rakyat Malaysia kita mengharapkan pingat emas pertama menjadi kenyataan," katanya.

Bagi Mohd Zakwan Zazali, 27, dia turut hadir ke Dataran Perbandaran Putrajaya untuk berkongsi rasa kemeriahan sempena Olimpik Rio kali ini.

"Malam ini saya mahu sama-sama rasai kemeriahan perlawanan akhir acara badminton. Kalau tengok di rumah rasa tak syok sangat.

"Jadi saya bawa anak dan isteri bersama penonton di sini dengan harapan atlet kita dapat kutip pingat emas malam ini," katanya yang juga kakitangan Perbadanan Putrajaya.

Sementara itu, selain tanyangan perlawanan pihak penganjur turut mengadakan acara sampingan seperti persembahan nyanyian, kuiz dan pertunjukan timbang bola.