Kita mengimpikan emas namun perak yang tiba. Tapi tiada yang perlu ditangisi kerana beregu Malaysia sudah melakukan apa yang terdaya.

Lawan mereka ternyata lebih tangkas dan ampuh sekali gus.

Diiringi doa, sorakan dan harapan rakyat Malaysia gandingan Chang Peng Soon - Goh Liu Ying terpaksa tunduk kepada wakil Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir ‎dengan keputusan 14-21, 12-21.

Pada set pertama persembahan Malaysia memang goyah dan pada suatu ketika mereka tertinggal enam atau tujuh mata di belakang.

Pada set kedua paling hampir mereka menghampiri pasangan Indonesia ialah dua mata sebelum jarak itu dilebarkan sehingga tiga atau empat mata di belakang.

Kesilapan servis dan pukulan liar turut menyumbang kepada mata pihak lawan.

Pada kedudukan mata 2-7 pasangan negara cuba bangkit menyaingi lawan, bagaimanapun Indonesia ternyata lebih bertenaga sebelum menamatkan set pertama 21-14.

Kembali pada pusingan kedua, pasangan Indonesia terus membuktikan mereka lebih tangkas mengatasi regu Malaysia.

Taktikal mengumpan dan bertahan dipraktikkan Peng Soon dan Liu Ying dilihat menjerat mereka apabila regu nombor tiga dunia itu tampil begitu agresif.

Pada kedudukan 9-10, pasangan negara cuba memberi saingan lebih sengit sebelum ketinggalan 11-17.

Kedudukan itu terus menyemarakan semangat atlet negara jiran untuk menamatkan saingan dengan keputusan 21-12.

Harapan pingat emas untuk Malaysia kini terletak di bahu Datuk Lee Chong Wei yang layak ke separuh akhir untuk menghadiahkan piangat emas pertama negara.

Bagaimanapun Chong Wei perlu berdepan dengan keampuhan 'Tembok Besar China' yang dibawa musuh tradisinya, Lin Dan.

Satu lagi harapan ialah di bahu beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong yang sebelum ini menumbangkan lawan mereka dari China, Chai Biao dan Hong Wei 21-18, 12-21 dan 21-17.

Sementara itu kekecewaan orang ramai yang menonton di skrin besar di Dataran Perbadanan Putrajaya selepas perlawanan tamat.

Namun keadaan menjadi lebih cerah dan riang setiap kali kamera memberi fokus kepada wajah Liu Ying, terutama ketika dia sesekali nampak tersenyum manis.

Pingat perak malam ini adalah yang pertama dicatat untuk beregu campuran Malaysia.

Sementara itu Bernama melaporkan Liu Ying seakan masih tidak percaya kerana dapat bermain di final Olimpik walaupun ia bukan permainan yang terbaik dipersembahkan mereka.

"Sekarang beregu campuran negara semakin meningkat dan saya percaya untuk Sukan Olimpik akan datang, kita juga boleh mengharapkan sesuatu," kata Liu Ying.

Peng Soon pula berkata, mereka sudah memberikan segala yang termampu dan terbaik namun lawan dari negara jiran "jelas lebih bagus".