Impian pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying menggenggam pingat Olimpik kini menjadi kenyataan apabila memenangi pingat perak acara itu, kata ibunya Yoong Ooi Lin, 53.

Beliau mengakui perjalanan Liu Ying, 27, menggapai pingat itu bukan mudah terutama dengan kecederaan lutut yang dialami anak sulung daripada tiga beradik itu sejak 2014.

"Tentunya saya amat bangga dengan pencapaian anak saya. Apa lagi selepas dia mengalami kecederaan di kedua-dua lututnya dan telah menjalani pembedahan kerana mahu beraksi pada Sukan Olimpik kali ini.

"Apa yang terpaksa dia lalui untuk mencapai impian ini bukan mudah, pada asalnya sasaran hanya peringkat suku akhir atau separuh akhir sahaja tetapi dia berjaya melepasi sasaran itu dan melakukannya dengan cemerlang," katanya kepada pemberita di Melaka.

Terdahulu beliau dan suaminya Goh Chak Whee, 59, dari Batu Berendam di Melaka menyaksikan perlawanan akhir itu bersama Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, Ayer Keroh.

Yoong yang bertugas sebagai akauntan berkata beliau menyerahkan kepada anaknya sama ada mahu bersara akibat kecederaan lutut itu atau meneruskan kerjaya sebagai pemain selepas Sukan Olimpik ini.

"Kami sekeluarga akan sentiasa menyokong keputusannya," katanya yang turut menjelaskan Liu Ying lebih rapat dengan bapanya.

Beliau berkata Liu Ying juga sempat menghubunginya sebelum beraksi dalam perlawanan akhir itu dan beliau menasihatkan anaknya supaya bertenang dan menikmati perlawanan tersebut.

Chak Whee yang merupakan bekas kontraktor berkata kekalahan Liu Ying sebenarnya bukan kegagalan, sebaliknya satu kejayaan kerana dapat memenangi pingat untuk negara.

"Saya dan keluarga tidak sedih, sebaliknya amat bangga kerana anak saya berjaya mengharumkan nama Malaysia dan juga Melaka...terima kasih kepada semua yang menyokong terutamanya rakyat Malaysia.

"Memang tidak sangka dia boleh dapat pingat Olimpik, memang dia ada bercerita mahukan pingat Olimpik itu dan hasil usaha kerasnya, ia sudah menjadi realiti," katanya.

-Bernama