Walaupun hanya berjaya merangkul perak, majoriti ramai pihak memuji pasangan regu campuran negara berdepan Indonesia dalam perlawanan badminton sempena sukan Olimpik di Rio De Janeiro malam tadi.

Mungkin tidak ramai tahu, kesungguhan gandingan Chang Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya memberi lonjakan besar kepada mereka dalam ranking pemain dunia, daripada kedudukan 79 kepada tempat kedua.

Dan semua kejayaan itu berlaku hanya dalam tempoh setahun.

Paling memberi inspirasi, pemain wanita negara Goh Liu Ying menunjukkan ketabahan luar biasa apabila berjuang bermati-matian walaupun dia sebenarnya mengalami kecederaan lutut.

Ramai yang melihat aksinya dengan rambut berikat dan pelindung lutut berwarna hitam dipakai di kedua-dua kakinya semalam.

Bagaimanapun tidak ramai yang tahu apa sebenarnya yang dialami beliau.

Kisah itu dikongsi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Twitter beliau hari ini, yang diulang twit hampir 10,000 kali sejak dimuat naik hampir jam 8 pagi ini.

Menurut Khairy, Goh membuat pembedahan di lututnya pada 2014 untuk merawat masalah kerosakan ligamen dan tulang rawan.

"(Pembedahan) di kedua-dua kakinya. Diikuti 11 bulan pemulihan yang menyakitkan," tulis Khairy.

Selepas pulih Liu Ying dia kembali berlatih dengan pasangan regunya sebagai persediaan menghadapi temasya Olimpik dengan bertarung di peringkat kelayakan pada Mei 2015.

Berada di kedudukan ke-79 dunia regu itu berlatih dengan sepenuh hati dan pada masa sama Liu Ying memberikan tumpuan lebih kepada usaha memulihkan kekuatan pada lututnya.

Perlahan-lahan namun pasti Liu Ying dan Peng Soon mendaki satu demi satu anak tangga untuk menempatkan diri dalam Olimpik 2016.

Dengan reputasi sederhana sebelum ini tidak ramai yang menjangkakan Liu Ying dan Peng Soon mampu pergi lebih jauh daripada sekadar pusingan suku akhir.

 

 

 

 

Namun sejarah membuktikan regu Malaysia itu menundukkan lawan mereka yang juga pasangan keenam terbaik dunia di peringkat separuh akhir.

"Dan di sini mereka sekarang. Pemenang pingat perak. Di kedudukan ke-79 setahun lalu. Berada di podium hari ini," kata tweet Khairy.

Penghargaan dan kekaguman rakyat Malaysia kepada pasangan regu campuran negara pada malam tadi juga menampakkan bagaimana ramai tidak senang dengan cara media arus perdana memaparkan keputusan perlawanan akhir.

Berita Harian misalnya menggunakan ungkapan "sekadar meraih perak" manakala tabloid Kosmo! memilih tajuk "Peng Soon - Liu Ying hampakan jutaan rakyat Malaysia".

Pembaca menjadikan media sosial untuk meluahkan rasa marah mereka kepada media berkenaan yang dianggap tidak sensitif dengan pengorbanan dan kegigihan atlet negara mencari pingat emas.

Mereka memetik nama Khairy di Twitter untuk menyatakan rasa kecewa masing-masing.

Pengguna @SyikinAsril misalnya menulis: "@Khairykj so inspiring. Word "SEKADAR" & "MENGHAMPAKAN" not fair for them. It's Olympic not wakil Daerah (@Khairykj begitu memberi inspirasi. Perkataan "SEKADAR" & "MENGHAMPAKAN" tidak adil untuk mereka. Ia (sukan) Olimpik bukan wakil daerah).

Bagi @syaf_95 dia meminta Khairy menegur akhbar berkenaan.

"@Khairykj Boss, minta tegur akhbar yang memperlekehkan pingat perak semalam. Tq boss," tulisnya.

Bagaimanapun semakan berita itu di Berita Harian versi atas talian menunjukkan tajuk berita berkenaan kemudian diubah menjadi "Olimpik: Peng Soon-Liu Ying raih perak".