Laporan tajuk akhbar utama mengenai keputusan akhir beregu campuran Peng Soon- Liu Yin di Sukan Olimpik malam tadi mengundang peringatan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan itu menekankan tentang keperluan untuk ucapan lebih positif kepada atlet Malaysia yang bersaing dalam Olimpik Rio 2016.

"Tinggal tiga hari lagi Rio 2016. Hanya getaran positif untuk wira kita! Tiada lagi 'sekadar2'. Hanya Semangat. Mari kita percaya. Malaysia Boleh," katanya dalam laman sosial.

Tajuk Berita Harian "Beregu Campuran Sekadar raih perak" dan tajuk Kosmo! "Peng Soon-Liu Ying Hampakan Jutaan Rakyat Malaysia" mengundang kemarahan daripada peminat sukan dan netizen sehingga Kosmo! menukar tajuk berita dalam taliannya kepada "Tetap Bangga Pulang dengan Perak".

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau "amat kecewa" dengan liputan negatif media tertentu.

"Saya kecewa dengan komen mereka. Ia adalah sampah semata-mata. Pasangan itu buat Malaysia berbangga kerana memenangi pingat," katanya dipetik oleh The Star Online.

Perkara itu juga dilihat berbaur perkauman apabila netizen membandingkan keratan tajuk Berita Harian di atas kemenangan pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang merangkul pingat gangsa dalam acara keirin.

"Azizulhasni Awang melakar Sejarah jadi pelumba basikal pertama negara memenangi pingat di Olimpik apabila raih gangsa Acara Keirin," keratan akhbar itu dipetik.

Dalam tweetnya sebelum ini, Khairy juga menceritakan bagaimana Liu Ying menjalani pembedahan dua kali ke atas lututnya dan melalui 11 bulan pemulihan yang menyakitkan.

Menteri itu juga menyatakan pasangan berkenaan berada di kedudukan ke- 79 tahun lalu, namun berjaya sampai ke peringkat akhir Olimpik dan meraih pingat perak.