Bertabahlah Malaysia.

Emas itu mungkin ada tetapi hadirnya bukan malam ini. Datuk Lee Chong Wei sudah bertungkus-lumus melakukan tanggungjawabnya namun Chen Long berada di tempat lebih baik.

Dan perak itu memadai kerana ia bukanlah pingat yang biasa-biasa.

Debaran sudah berakhir, berlapang dadalah kita dengan kekalahan bermaruah Chong Wei di pentas akhir Olimpik Rio de Janeiro di Brazil kali ini.

Kemenangan Chen Long itu juga bermakna pingat emas badminton perseorangan lelaki kekal di China sebaik bulu tangkis ke-35 memberi mata kemenangan kepada Chen Long.

Pada Olimpik London pada 2012 emas dimenangi Lin Dan yang pada malam ini gagal meraih sebarang pingat selepas tunduk kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen, 21-15, 10-21 dan 17-21.

Pada aksi di Riocentro Pavilion sebentar tadi, Chen Long dipaksa bermain bermati-matian sebelum mengesahkan kemenangan dua set berturut-turut mengatasi Chong Wei 21-18, 21-18 dalam tempoh 74 minit.

Perlawanan penuh debaran, set pertama di awal permainan Chen Long memimpin kedudukan mata sebelum berjaya dipintas Chong Wei 8-7.

Kedua-dua pemain nampaknya terlalu berhati-hati, tidak banyak pukulan agresif ditonjolkan sebaliknya permainan selamat menjadi pilihan khususnya bagi pemain China.

Chong Wei pula lebih mengajak lawan untuk mencabar kemahiran lawan di bibir jaring namun itu juga menyebabkan pemain negara beberapa kali terperangkap dengan jerat sendiri.

Beberapa mata tercicir dan tersangkut pada jaring yang memisahkan kedudukan dua seteru itu.

 

 

Pada kedudukan 13-10 Chong Wei memberi kelegaan kepada penonton untuk menguasai set pertama, bagaimanapun Chen Long sempat memintas kedudukan sebelum menamatkan saingan dengan 21-18.

Sementara itu di set kedua lebih mendebarkan, saingan sengit ditunjukkan kedua-dua pemain apabila saling mengejar kedudukan mata.

Ketinggalan 4-2, Chong Wei bangkit mengikat Chen Long pada kedudukan 5-5, kemudian mendahului dengan mata 8-5. Namun Chen Long mengejar kembali menjadikan saingan mata 8-8.

Tewas tapi melawan, rali panjang yang menjadi taktikal permainan Chen Long berpihak kepadanya.

Ketika mendahului 15-13, pemain nombor dua dunia itu mengasak dengan smash bertubi-tubi tetapi berhasil dinafikan Chong Wei untuk meraih mata ke-14.

Semakin ke penghujung aksi, Chong Wei cuba mengejar pada kedudukan 16-19 untuk memberi tekanan Chen Long yang dilihat semakin yakin kemenangan berpihak kepadanya.

Dan itulah pengakhirnya - perjuangan Chong Wei terhenti di mata ke-18 sebelum Chen Long memuktamadkan kemenangan.

Dapat dilihat raut wajah kecewa wira Malaysia itu sebaik saja lawannya meraikan kemenangan dengan tangisan kegembiraan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turut menyaksikan perlawanan akhir itu tadi menyifatkan Chong Wei telah menunjukkan permainan yang baik.

"Tak kira apa jua warna medal, anda adalah hero kami rakyat Malaysia! Tahniah," katanya di Twitter sejurus perlawanan tamat.

Sementara itu rata-rata peminat sukan tetap berbangga dengan pencapaian Chong Wei.

Seorang pengikut Facebook Malaysiakini Sukan, Dak Nip berkata Chong Wei bermain untuk negara dan bukan untuk diri sendiri semata-mata.

"Ikutkan dia dah boleh bersara diusia sekarang 34 tahun berbanding Chen Long yang masih muda di pertengahan 20-an.

"Tahniah Datuk, anda tetap emas di mata kami," katanya.

Bagi Muhammad Issya, Chong Wei mungkin kepenatan selepas berhempas pulas menumbangkan Lin Dan.

"Hari ini final tengok dia keletihan. Nak smash pun tak ada semangat.

"Lin Dan pun letih, itu pasal Lin Dan pun kalah tadi penentuan pingat gangsa. Apa pun selamat bersara DLCW," tulisnya Facebook.

Tempoh perlawanan:
Set pertama: 35 minit
Set kedua: 38 minit

Rali terpanjang: 42 (set pertama) dan 44 (set kedua)

Bulu tangkis digunakan: 35 (15 pada set pertama dan 20 di set kedua)