Pemacu pena panas: KJ janji Jumaat ini
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mengumumkan kandungan pemacu pena (pendrive) yang diserahkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) pada Jumaat ini.
Menurutnya, beliau masih mengkaji kandungan pemacu pena didakwa Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengandungi dokumen yang terperinci mengenai aktiviti rasuah melibatkan FAM.
"Dokumen tersebut berkaitan dengan isu-isu teknikal bola sepak, bukan hanya rasuah. Saya masih mencari (dakwaan rasuah) yang disebut kerana ia dokumen teknikal.
"Bagaimanapun, saya akan menyelesaikan isu ini tidak lama lagi. Pada hari Jumaat, saya akan (dedahkan)," katanya.
Terdahulu pemacu pena 'panas' itu diserahkan TMJ kepada Khairy dalam satu pertemuan di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru pada 26 Ogos lalu.
Khairy berkata, dokumen tersebut menyentuh isu-isu seperti pembangunan bola sepak dan futsal wanita, program latihan, dan corak permainan pasukan bola sepak kebangsaan dan tidak semestinya melibatkan rasuah.
Beliau mengulangi jika mendapati tanda-tanda rasuah, dokumen itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun katanya beliau perlu mengkaji dokumen terbabit supaya sekurang-kurangnya akan dapat memberi penjelasan kepada sesiapa yang menanganinya.
"Jika tidak, SPRM akan ketawakan saya dan berkata 'Kenapa kamu memberi dokumen-dokumen ini kepada kami?" katanya.
Khairy sebelum ini berkata, pemacu pena tersebut mengadungi 279 halaman dokumen dan berjanji untuk tidak berkompromi dengan mana-mana individu sekiranya didapati ada ketirisan dan salah laku dalam FAM.

