Pemain pertahanan Brazil, David Luiz kembali ke Chelsea selepas dua tahun di Paris Saint-Germain.

Menurut AFP, Luiz memilih kembali ke Stamford Bridge dengan bayaran dikatakan mencecah sekitar STG32 juta (RM172.28 juta) beikutan kebimbangan kehilangan tempat di PSG kepada rakan senegara, Marquinhos.

"Saya gembira dapat kembali ke Chelsea," kata Luiz dalam laman web Chelsea selepas menandatangani kontrak tiga tahun.

"Kami mempunyai kisah yang menarik ketika kali pertama di kelab ini dan saya mahu membantu pasukan dan (pengurus) Antonio Conte meraih banyak kejayaan," katanya.

Luiz, 29, menjadi pemain pertahanan termahal apabila PSG membayar STG50 juta (RM269.19 juta) bagi mendapatkan pemain itu daripada The Blues pada 2014.

Pada hari terakhir jendela perpindahan pertengahan tahun Liga Perdana Inggeris (EPL), tengah malam tadi, Chelsea juga mendapatkan pertahanan kiri dari Sepanyol, Marcos Alonso daripada Fiorentina.

Bayaran pemindahan dilaporkan sekitar STG23 juta (RM123.83 juta), sementara pemain sayap Colombia, Juan Cuadrado menyertai Juventus menerusi pinjaman selama tiga tahun.

Sementara itu, AFP turut melaporkan pemain tengah Perancis, Moussa Sissoko meninggalkan Newcastle United untuk menyertai Tottenham Hotspur.

Perpindahan dua pemain itu membabitkan perbelanjaan kira-kira STG1.17 billion (RM6.30 bilion) menurut Sky Sports - rekod baru dalam satu tempoh perpindahan.

Sissoko, 27, dilaporkan kelihatan bersedia menyertai Everton, sebelum Tottenham membuat tawaran lebih tinggi berbanding kelab Merseyside itu menerusi bidaan pada saat akhir.

Dia menandatangani kontrak lima tahun dan dikatakan membabitkan kos sekitar STG30 juta (RM161.52 juta).

"Hai peminat semua. Saya gembira berada di sini," kata Sissoko dalam video yang dimuat naik Spurs di media sosial Twitter kelab itu.

"Saya akan memberikan segala-galanya untuk anda, bagi pasukan, dan saya harap kami akan memenangi banyak perlawanan dan banyak gelaran," katanya.

Dalam pada itu, pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere dipinjamkan dalam tempoh semusim ke Bournemouth setelah sering dibelenggu kecederaan, manakala penyerang bermasalah Liverpool, Mario Balotelli menutup buku di Anfield selepas disahkan menyertai kelab Perancis, Nice.

Juara bertahan Leicester City pula memecahkan rekod perpindahannya dengan menandatangani penyerang Islam Slimani dari Sporting Lisbon.

Kelab Portugal itu berkata, penghijrahan pemain itu bernilai 30 juta euro (RM136.42 juta), dengan jangkaan pertambahan sebanyak 5 juta euro (RM22.74 juta).