Pemain JDT Amri Yahyah kapten baru Harimau Malaysia
Selepas persaraan Safiq Rahim daripada skuad kebangsaan, seorang lagi pemain JDT Amri Yahyah diangkat sebagai kapten baru skuad Harimau Malaysia.
Ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata beliau dan pengurus pasukan Datuk Hamidin Mohd Amin memilih Amri berdasarkan pengalamannya bersama skuad negara.
"Setelah berbincang dengan Datuk Hamidin, kita melantik Amri sebagai ketua pasukan dan akan dibantu Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat.
"Kita tahu Amri salah seorang pemain senior dalam skuad kebangsaan dan dia juga menunjukkan ciri sebagai ketua," katanya pada sidang media di Wisma FAM Kelana Jaya, hari ini.
Amri dan rakan sepasukannya akan berdepan pasukan kebangsaan Indonesia pada aksi persahabatan antarabangsa bertaraf A dijadualkan pada 6 September di Stadium Manahan, Solo.
Kim Swee berkata peranan sebagai kapten kali ini begitu penting kerana skuad kebangsaan dibarisi ramai pemain muda.
"Sebelum ini juga Amri pernah menjadi kapten apabila Safiq tidak bermain, jadi saya tak nampak satu masalah besar yang mana dia juga adalah idola kepada sesetengah pemain dalam skuad kebangsaan," jelasnya.
Saingan Piala AFF
Terdahulu Safiq dan serta tiga lagi pemain JDT mengejutkan arena bola sepak tanah air selepas membuat keputusan bersara daripada skuad kebangsaan, Julai lalu.
Ditanya persiapan pasukan untuk berdepan Indonesia nanti Kim Swee berkata beliau tidak memandang ringan perlawanan tersebut walaupun Indonesia baharu dibenarkan beraksi di peringkat antarabangsa selepas digantung.
"Pemain-pemain mereka tetap aktif beraksi dalam liga sendiri, malah terdapat ada juga yang beraksi di luar negara.
“Mereka juga antara pencabar pada saingan Piala Suzuki AFF nanti.
"Saya harap pemain-pemain mampu bersaing dan mendapat keputusan yang baik," tambahnya.
Kejohanan Piala AFF 2016 yang bermula dari 19 November hingga 17 Disember ini.

