JDT luaskan kuasa hatrik lebih awal
JDT melakar sejarah tersendiri malam ini. Kejuaraan hatrik Liga Super yang diidamkan mereka kini dirangkul sebaik berjaya menewaskan Terengganu 3-0 di Stadium Larkin, sebentar tadi.
Malah, skuad bimbingan Mario Gomez mengesahkan kejuaraan kali ketiga berturut-turut itu lebih awal dengan dua perlawanan musim ini masih berbaki.
JDT mempamerkan prestasi luar biasa dan mencatatkan rekod baru sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004 sebagai pasukan pertama meraih kejuaraan hatrik.
Dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini, Safiq Rahim dan rakan-rakan mengumpul 52 mata melalui 20 perlawanan untuk mengesahkan kejayaan mereka.
Aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu menyaksikan perlawanan genting ditunjukkan kedua-dua pasukan. Tuan rumah dengan misi meraih kejuaraan awal, manakala skuad Penyu mahu memastikan mereka tidak terkeluar dari liga.
Di awal permainan, pasukan pelawat dilihat memberi asakan kemas dengan serangan pantas. Namun kekebalan benteng pertahanan JDT sukar digoyah.
Tuan rumah ternyata sukar digugat apabila mereka tampil menguasai perlawanan walaupun Terengganu cuba menyeimbangi permainan khususnya di separuh masa kedua.
Dua kesilapan barisan pertahanan Terengganu sekali gus menghadiahkan dua sepakan penalti untuk JDT menggembirakan penyokong mereka.
Gol pertama disempurnakan Jorge Pereyra Díaz pada minit ke-28 susulan kekasaran dilakukan pemain lawan ke atas S Kunanlan, sebelum jaringan kedua melalui sepakan penalti Safiq di minit ke-83.
Kedudukan 2-0 melalui dua penalti mungkin akan dikatakan sebagai 'nasib', namun Pereyra Díaz membuktikan kehebatannya sebagai penjaring terbanyak dengan menambah gol ketiga untuk JDT di minit ke-86.
Dengan kemenangan itu menyaksikan pasukan milik tengku Mahkota Johor Tuanku Ismail Sultan Ibrahim itu merekodkan 16 kemenangan dan empat seri dalam 20 perlawanan dilalui.
Ternyata jalan mudah ditempuhi JDT ketika mereka mengejar kejuaraan ketiga itu dan membuktikan mereka setakat ini adalah satu-satunya pasukan yang tidak mampu ditandingi pasukan lain.
Mereka mengecapi kejuaraan pertama Liga Super pada 2014 diikuti musim 2015 dan 2016 di samping kejayaan lain seperti juara Piala FA juga pada musim ini.

