Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Kelab Hoki Sapura merangkul kejuaraan pertamanya musim ini selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 pada perlawanan akhir Piala Tan Sri P. Alagendra di Stadium Hoki Tun Razak di Kuala Lumpur, malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Sapura membawa pulang RM70,000 selaku juara, manakala TNB menerima RM30,000, dan lebih manis lagi, Dangerous Lee yang menjaringkan gol kemenangan Sapura dipilih sebagai Pemain Terbaik.

Pada aksi malam ini, pemain kebangsaan Muhammad Firhan Ashari meletakkan Sapura di hadapan apabila memanfaatkan bola muntah hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-15, sebelum seorang lagi pemain negara Muhammad Shahril Saabah menyamakan kedudukan untuk TNB menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-46.

Lee, bekas pelatih remaja kebangsaan dari Sarawak muncul wira Sapura apabila menjaringkan gol kemenangan melalui gol padang pada minit ke-53 selepas menerima hantaran daripada pemain import dari New Zealand Phillip Ross Burrow.

Untuk rekod, Sapura pernah memenangi kejohanan berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Piala TNB pada 2005 dan 2006.

Bercakap kepada pemberita, jurulatih Sapura Yahya Atan, yang juga bekas pemain kebangsaan memuji anak buahnya yang menampilkan semangat juang tinggi pada perlawanan tersebut.

"Kita memberi tentangan sengit sehingga tamat perlawanan. Saya berharap kejayaan ini sebagai permulaan untuk kita menjulang gelaran Liga Premier Malaysia," katanya seperti dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia.

Jurulatih TNB, Muhamad Amin Rahim yang juga merupakan bekas pemain negara, ternyata kecewa dengan kekalahan tersebut, sambil menyalahkan pemainnya kerana gagal menyempurnakan pukulan penalti pada suku pertama permainan.

"Saya sangat kecewa kerana kita sepatutnya menamatkan perlawanan itu dengan kemenangan. Ia bukan hari kita," kata Muhamad Amin.

Sapura mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 4-1, manakala TNB menumpaskan juara berganda sebanyak dua kali, Pasukan Hoki Terengganu 3-2, pada perlawanan separuh akhir.

Terdahulu, dua bekas pemain negara - Hafifihafiz Hanafi dan Megat Azrafiq Megat Termizi, yang sudah bersara daripada skuad kebangsaan, menerima penghargaan daripada Yayasan Hoki Malaysia yang dipengerusikan Tan Sri P. Alagendra.

Hafifihafiz yang membuat penampilan bersama skuad negara sebanyak 139 kali selama 12 tahun menerima RM16,850, manakala Megat Azrafiq, dengan penampilan sebanyak 140 kali dalam tempoh 10 tahun bersama skuad kebangsaan, memperoleh RM15,500.

-Bernama

Lihat Komen
ADS