Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Messi dan rakan-rakan buli Celtic 7-0
Diterbitkan:  Sep 14, 2016 1:16 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Penyerang trio Barcelona, Lionel Messi, Luis Suarez, dan Neymar tampil luar biasa membuli Celtic FC pada aksi peringkat kumpulan C Liga Juara-juara (UCL), di Stadium Camp Nou awal pagi tadi.

Ketiga-tiga penyerang tersebut masing-masing menjaringkan gol menyaksikan El Barca menang besar 7-0 membelasah kelab dari Scotland itu.

Messi menjaringkan gol pertama sebaik tiga minit perlawanan berlangsung. Menerima bola dari Neymar di kawasan kotak penalti, Messi melepaskan ledakan kencang ke gawang Celtic.

Keunggulan skuad bimbingan Luis Enrique hampir ranap dengan kesilapan penjaga gol mereka Marc Andre Ter Stegen menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Namun, Ter Stegen berjaya menebus 'dosanya' dengan menafikan tendangan Moussa Dembele.

Kegagalan Celtic menyempurkan peluang itu menyaksikan mereka terus menjadi mangsa 'buli'. Messi sekali lagi menggegarkan jaring gol mereka pada minit ke-27.

Kombinasi Messi dan Neymar ternyata sukar dikawal benteng pertahanan Celtic. Selepas dua jaringan Messi, giliran Neymar pula merekodkan nama sebagai penjaring ketiga di minit ke-50.

Bintang Brazil itu bijak meledak tendangan bebas ke penjuru kiri gol Celtic.

Sembilan minit kemudian, Neymar kembali menjadi watak penting di sebalik gol Andres Iniesta pada menit ke-59.

Neymar melepaskan umpanan terus dalam kawasan kotak penalti dan disambut Iniesta dengan melepaskan tendangan terus.

Berselang seminit kemudian, Messi tampil menyempurnakan hatriknya sebelum Luis Suarez turut menyumbang dua gol pada minit ke-75 dan 87'.

Keputusan itu menyaksikan juara lima kali mendahului kumpulan C dan bakal menyaksikan satu lagi saingan melibatkan Manchester City dan Borussia Moenchengladbach, awal pagi nanti.

Lihat Komen
ADS