Sambutan atlet Paralimpik besar-besaran, ada 'kejutan'
Kepulangan wira dan wirawati Paralimpik Rio negara bakal disambut secara besar-besaran pada 22 September depan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, majlis tersebut akan diadakan di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Pagi tadi kita telah bincang di kabinet dan perdana menteri akan rasmi turut bersama menyambut kepulangan kontinjen paralimpik pada 22 September.
"Besar-besaran.Tunggulah kejutan ," katanya ketika ditanya mengenai gimik sambutan yang bakal dilangsungkan.
Terdahulu Khairy menyampaikan penghargaan Proton kepada pemenang pingat Olimpik Rio de Janeiro, Brazil di Pusat Kecemerlangan Proton di Subang Jaya, hari ini.
Sabtu lalu, atlet paralimpik negara melakar kejutan bersejarah di Rio dengan kemenangan pingat emas pertama melalui Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (cerebral palsy), disusuli pingat emas Muhammad Ziyad melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak balingan 16.84m.
Keesokannya, Abdul Latif Romly turut mempamerkan aksi cemerlang dengan memenangi emas selepas memecahkan rekod dunia dalam kategori acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan jarak lompatan 7.60m.
Sementara itu, lapan atlet Olimpik negara menerima ganjaran berupa sebuah kereta Proton bagi setiap seorang seperti yang dijanjikan Syarikat Perusahaan Otomobil Nasional itu.
Pada majlis tersebut jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menerima kereta Proton Perdana Premium atas kejayaan dalam tiga kejohanan Olimpik sejak 2008 di Beijing, China hingga Olimpik 2016 di Brazil.
Enam lagi atlet pemenang pingat perak iaitu Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong (Terjun), Chang Peng Soon dan Goh Liu Ying (beregu campuran badminton) serta Goh V Shem dan Tan Wee Kiong (beregu badminton lelaki) masing-masing menerima Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium.
Bagi pelumba basikal pertama meraih pingat gangsa Olimpik Azizulhasni Awang menerima Proton Persona serba baru.

