Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan bersidang bulan depan akan memutuskan tarikh sesuai untuk pemilihan anggota exco baharu badan induk itu bagi sesi 2017-2021.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata pemilihan anggota baharu FAM akan diadakan serentak dengan Kongres Tahunan FAM kali ke-53 bagi melancarkan proses peralihan kuasa kepada pucuk kepimpinan baharu.

"Dalam agenda Kongres FAM kali ke-53 akan ada pemilihan untuk kesemua jawatan dalam FAM bagi sesi 2017-2021. Berdasarkan statut FAM, tarikh menentukan AGM terletak pada kuasa Jawatankuasa Eksekutif yang akan bersidang pada bulan depan," katanya.

Afandi berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Kongres Tahunan FAM kali ke-52, di Petaling Jaya, hari ini.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini mengulangi pendirian baginda untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM yang disandang sejak 2014, sekali gus menyaksikan FAM memutuskan supaya pemilihan penggal baharu jawatankuasa eksekutif diawalkan dari 2018 ke tahun depan.

Dalam pada itu, Afandi berkata pemilihan untuk jawatan exco FAM termasuk jawatan Presiden mestilah hadir daripada anggota gabungan selaras dengan statut FAM.

"Pencalonan itu terbuka kepada mana-mana individu yang ada pengalaman dalam bola sepak dan warganegara Malaysia dan mereka mestilah dicalonkan oleh sekurang-kurangnya satu ahli gabungan untuk layak menjadi calon Presiden FAM.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya tempoh tiga bulan untuk membolehkan mesyuarat AGM berlaku dan untuk itu, ada tempoh pencalonan yang perlu dikemukakan sehingga kita menerima senarai nama calon sebelum dibawa ke mesyuarat agung tahunan," katanya.

Sementara itu, Afandi menjelaskan pihaknya masih menunggu laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu pemacu pena yang didakwa mengandungi penyelewangan dalam pentadbiran FAM.

Beliau menjelaskan setelah laporan tersebut diterima, Jawatankuasa Integriti FAM yang dipengerusikan Tan Sri Aseh Che Mat akan menilai laporan tersebut sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Eksekutif untuk tindakan seterusnya.

"Dalam pengurusan bola sepak di negara ini, kita sentiasa menggunakan
pendekatan terbuka, ertinya kita bersedia menerima sebarang cadangan dan pandangan dan kita sebenarnya berlapang dada dalam semua perkara.

"Kemukakanlah sebarang cadangan kepada kita kerana kita tahu ia satu
matlamat iaitu memastikan kegemilangan bola sepak negara," jelas Afandi.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyerahkan pemacu pena tersebut yang didakwa mempunyai laporan sebanyak 279 halaman kepada SPRM pada 2 Sept lalu, selepas menerimanya daripada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki, bagaimanapun mengesahkan kandungan pemacu pena tersebut tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

-Bernama