Sebelum menang, Klopp khuatir kejutan Chelsea
Berjaya menewaskan Chelsea 2-1 awal pagi tadi pastinya memberi kepuasan kepada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Namun, sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil, jurulatih kelahiran Jerman itu begitu khuatir dengan jaringan saat-saat akhir tuan rumah.
Berkunjung ke gelanggang The Blues di Stadium Stamford Bridge, jaringan Dejan Lovren dan kapten Jordan Henderson di separuh masa pertama cukup memuaskan hari Klopp, walaupun Chelsea merapatkan jurang gol melalui Diego Costa di separuh masa kedua.
"Ia pastinya memuaskan. Seawal minit pertama pergerakan kami sangat baik. Berfikir dengan cepat, layak mengungguli (perlawanan) sebelum waktu rehat," katanya seperti dilaporkan BBC.
Bagaimanapun aksi 45 minit kedua, The Kop semakin mengubah taktikal dengan lebih defensif berbanding penampilan babak pertama.
Klopp sendiri mengakui mereka begitu berwaspada dengan kejutan-kejutan akhir Chelsea seperti yang kerap dilakukan anak buah Antonio Conte musim ini.
Pada empat perlawanan EPL sebelum ini, mereka sering merekod jaringan di hujung waktu perlawanan.
Pada aksi berdepan West Ham United diawal musim, Chelsea menentukan kemenangan 2-1 mereka dengan gol di minit ke-89.
Mereka juga menewaskan Watford 2-1 dengan jaringan yang dicipta pada minit ke-80 dan 87'.
Selain itu, ketika menang 3-0 ke atas Burnley, Chelsea juga menjaring gol di hujung perlawanan melalui Victor Moses pada minit ke-89 walaupun sudah mendahului 2-0 di separuh masa pertama.
Dominasi jaringan di saat akhir itu berlanjut ketika mereka seri 2-1 berdepan Swansea sebelum melayan kunjungan Liverpool untuk kekalahan pertama musim ini.
"kami perlu belajar bagaimana mengatur strategi permainan. Musim ini Chelsea meraih gol beberapa saat sebelum perlawanan berakhir.
"Tapi saya tidak mengingati berapa peluang mereka cipta. Kami juga lakukan beberapa kesilapan, tetapi itu normal apabila berdepan sebuah pasukan hebat.
"Kami beraksi dengan sangat baik, seronok ditonton. namun di separuh masa kedua situasinya lebih sukar dan selepas mereka meraih gol kami berjaya tangani (tekanan) dengan baik," katanya.

