Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Mario Gomez menggesa pemainnya tidak melakukan kesilapan yang boleh membawa
padah terutama pada awal permainan apabila berdepan South China FC dari Hong Kong pada aksi suku akhir kedua Piala AFC, esok.

JDT yang merupakan juara bertahan, sekadar seri 1-1 pada suku akhir pertama di Stadium Mongkok, Hong Kong, Selasa lepas, setelah South China bangkit daripada ketinggalan untuk menyamakan kedudukan selepas pemain import dari Argentina Jorge Pereyra Diaz meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-22.

Keputusan seri tanpa jaringan atau kemenangan 1-0 pada suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru, malam esok sudah cukup buat JDT untuk mara ke peringkat separuh akhir.

"Bagi kami, apa paling penting untuk memastikan pemain tidak melakukan kesilapan mudah pada lima minit pertama permainan atau dalam kawasan kotak penalti. Kita perlu berhati-hati kerana ia perlawanan penting.

"Kita perlu berusaha keras, menggunakan mentaliti dan taktik yang sama
seperti dalam saingan Liga Super," kata Gomez.

Sementara itu, ketua jurulatih South China Jose Rambo menegaskan bahawa beliau akan menggunakan apa yang ada untuk memenangi perlawanan tersebut.

"Kami sedar lawan kami mempunyai barisan pemain yang mantap dan kita perlu berhati-hati dengan pergerakan mereka. Apa pun, kita tidak gentar berdepan sesiapa pun," katanya.

-Bernama