Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Seramai lebih 1,000 terdiri daripada peminat sukan, rakan-rakan dan keluarga hadir menyambut kepulangan atlet Paralimpik negara di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang hari ini.

Seramai 30 atlet negara yang berjuang di temasya Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil selamat tiba‎ dengan pesawat EK0346 kira-kira jam 3.15 petang.

Ketibaan pesawat mereka diberi penghormatan 'water‎ salute' susulan kejayaan cemerlang pada temasya sukan tersebut.

Kontinjen seterusnya di bawa menaiki bas ke Kompleks Bunga Raya kira-kira jam 4.15 petang disambut dengan sorakan 'Kami Luar Biasa'.

Ketibaan mereka disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ketibaan atlet di pentas utama disambut dengan kalungan bunga yang dikalungkan oleh perdana menteri.

Turut hadir bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya Tun Jane Abdullah merangkap penaung Majlis Paralimpik Malaysia.

‎Kontinjen paralimpik mencipta sejarah cemerlang sukan negara dengan meraih tiga pingat emas dan satu gangsa menerusi acara olahraga.

Pingat emas pertama dimenangi atlet pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36, disusuli emas kedua menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20, yang turut mencipta rekod dunia dengan balingan sejauh 16.84 meter.

Pingat emas ketiga diraih Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh ‎T20 yang turut mencatat rekod baharu dunia dengan lompatan 7.60m, manakala gangsa diraih Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20 dengan memperbaharui rekod Sukan Para Asia dengan jarak 5.20m.‎

Wira dan wirawati negara menamatkan cabaran Rio pada kedudukan ke-36 dalam pungutan pingat keseluruhan.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS