Selang sesaat menjelang masa penamat, lontaran pemain Malaysia, Yim Shen Hao dari garisan luar menidakkan peluang Mighty Sports mengakhiri perlawanan dengan kelebihan 30 mata mengatasi Westports Malaysia Dragons.

Ketika loceng penamat dibunyikan skuad Mighty Sports menundukkan Dragons dengan mata 105-78 dalam perlawanan di Singapura malam ini.

Dalam kejohanan Piala Merlion itu, impian Dragons - yang dibarisi pemain baru - mencatatkan kemenangan pertama nampaknya tidak kesampaian.

Kuek Tian Yuan selaku kapten Dragons menjaringkan 36 mata dan 9 rebounds manakala Wong Yi Hou pula menyumbangkan 11 mata termasuk tiga jaringan tiga mata.

Rata-rata hampir semua pemain turut menyumbangkan sesuatu dalam perlawanan malam ini.

"Saya tidak terlalu memikirkan perlawanan ini walaupun ia memang sukar. Prestasi yang baik malam ini hasil kerjasama yang lebih baik sebagai sebuah pasukan," Tian Yuan berkata.

Namun, di sebalik dominasi Mighty Sports pemain Dragons masih boleh dipuji kerana prestasi mereka lebih konsisten.

Pasukan dari Filipina itu bagaimanapun lebih menyerlah kerana mempunyai barisan pemain lebih berpengalaman. Antaranya ialah Jason Brickman dan Matthew Wright yang menjadi pemain utama Dragons dalam Liga Bola Keranjang Asean (ABL) musim lalu.

Matthew Wright merupakan penjaring terbanyak dengan 20 mata manakala Antwain Dewarick dan Joseph Yeo masing-masing mendapat 16 mata.

Jurulatih Dragons, Christopher Thomas berkata prestasi pasukannmua semakin baik, ke depan dan dalam hala tuju yang betul kali ini.

"Mereka (Mighty Sports) penuh dengan pemain import. Saya mahu Dragons menjadi pasukan paling gigih dalam kejohanan ini," kata Thomas.

"Beraksi dengan bijak, jangan berhenti memberikan saingan kepada lawan. Dragons perlu mencari potensi diri sendiri dan walau siapa pun yang menjadi lawan.

"Saya harapkan Dragons yang lebih agresif dan mengancam," tambah Thomas.

Corak permainan Dragons yang lebih agresif memberikan saingan kuat buat Mighty Sports dalam suku pertama perlawanan sebelum mereka berehat dengan mata 24-19.

Walau begitu Mighty Sports kembali mendominasi permainan selepas mengubah suai taktik serangan ke kawasan Dragons. Akhirnya Mighty Sports berada di depan ketika separuh masa pertama tamat kelebihan 18 mata, 53-35.

Tian Yuan pula memberikan suntikan motivasi kepada pemain tempatan lain dan menjaringkan 23 mata pada separuh masa pertama.

Dengan jaringan 64 peratus, prestasi Tian Yuan adalah antara yang terbaik setakat ini.

Dragons akan bertanding sekali lagi untuk tempat kelima dan keenam di Singapura pada Ahad ini.