Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menasihati pasukan-pasukan bola sepak di negara ini supaya 'ukur baju di badan sendiri' dalam menguruskan pasukan masing-masing.

Memberi gambaran tersebut menurutnya, sekiranya satu pasukan itu mempunyai dana RM10 mereka perlu menggunakan RM5 dan menyimpan baki wang tersebut.

"Bukannya ada RM10 tetapi menggunakan sebanyak RM15 dan terpaksa berhutang. Jikalau tidak mampu membeli Ferrari, belilah Toyota dahulu," katanya pada sesi dialog bersama Tunku Mahkota Johor (TMJ) seperti kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi JDT hari ini.

Tunku Ismail berkata, anda tidak perlu ada RM10 juta dan anda guna RM15 juta, kemudian terpaksa berhutang dan anda berjumpa (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak minta duit.

"Saya tahu kelab mana yang minta duit, malah ada juga kelab dari pantai timur baru-baru ini minta RM2 juta daripada kerajaan.

"Saya menegaskan dan memberi nasihat ini secara terbuka. Kepada perdana menteri, jangan dilayankan permintaan itu kerana wang kerajaan adalah wang rakyat untuk perubatan, pendidikan dan semua hal ehwal rakyat, bukannya bola sepak.

"Dana bola sepak sepatutnya datang daripada penaja yang ada syarikat atau perniagaan. Di Johor, semua wang yang saya perolehi adalah datang dari penaja dan pelabur asing di Johor.

"Takkanlah tiada pelabur di Selangor? Takkan tiada pelabur di Terengganu? Tetapi sekiranya penaja itu mahu beri RM2 juta tetapi anda pula minta RM10 juta, memanglah orang itu tidak mahu beri anda wang," jelasnya.

Tambah beliau, cukuplah dengan gejala rasuah kita perlu hapuskan dan mencari apa sahaja jalan penyelesaian yang boleh untuk mengawasi rasuah.

Sementara itu Tunku Ismail berkata, beliau telah menerima panggilan daripada Terengganu FC untuk datang berjumpa dan belajar (daripada JDT).

"Melaka pun pernah datang untuk 'pre-season' di sini dan bertanya bermacam-macam perkara. Sama juga dengan Pulau Pinang.

"Ini adalah kelab-kelab yang tahu mereka tidak boleh menentang kelab yang mempunyai RM20 juta dari segi perbelanjaan. Sekiranya hanya ada RM10 juta, gunakan hanya RM5 juta sahaja untuk perbelanjaan," katanya.