Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Tiga minggu sebelum Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2016 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC)
berlangsung, jualan tiket bagi perlumbaan itu hampir habis dijual.

SIC dalam kenyataan hari ini, berkata pas 'Premier Roving' dan tiket untuk grandstand K1, grandstand F, Marc Marquez Tribune, VR46 Tribune, DRIVE M7 SIC Racing Team Tribune dan Club Suite sudah pun habis dijual.

Bagaimanapun, tiket bagi grandstand utama dan C2 Hillstand serta pakej grandstand Ducati masih lagi ada, walaupun penjualan tiket meningkat, dan ia dijangka habis dijual menjelang perlumbaan berkenaan pada 28 hingga 30 Okt ini.

"Rentetan tiket MotoGP Malaysia habis dijual tahun lepas, penjualan tiket hanya mula laris di peringkat ini, kira-kira tiga minggu sebelum perlumbaan berlangsung. Terima kasih kepada sokongan padu peminat tahun ini. Kita sudah memecahkan rekod apabila tiket grandstand F sudah habis dijual dua bulan lebih awal menjelang perlumbaan ini.

"Hari ini, tiga minggu sebelum perlumbaan, kebanyakan tiket untuk tempat-tempat terbaik sudah dibeli. Saya menyeru kepada peminat yang belum membeli tiket agar segera mendapatkan tiket mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.

Razlan percaya tiada tiket yang akan dijual di litar semasa perlumbaan hujung minggu itu berikutan sambutan menggalakkan, bukan sahaja dalam kalangan peminat tegar perlumbaan motosikal, tetapi juga daripada rakyat Malaysia yang sudah pasti akan menyokong pelumba negara ini.

Tiga pelumba tempatan, Hafizh Syahrin Abdullah dalam Moto2 serta Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin dalam Moto3, beraksi dalam perlumbaan musim 2016.

Peminat boleh membeli tiket secara dalam talian di laman web rasmi SIC www.sepangcircuit.com atau menghubungi TICKET HOTLINE litar berkenaan di 03-8778 2222.

Litar Sepang akan menjadi tuan rumah pusingan kedua terakhir Kejuaraan MotoGP Dunia tahun ini, menjelang pusingan akhir di Valencia, Sepanyol dari 11 hingga 13 Nov.

Sebelum pusingan Malaysia, SIC akan menganjurkan sesi menonton siaran secara langsung MotoGP Jepun pada 16 Okt, dan MotoGP Australia pada 23 Okt, kedua-duanya diadakan di restoran The Podium by Daun di Sri Hartamas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS