Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pasukan T-Team optimis mempertahankan gawang daripada dibolosi pasukan lawan dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.

Walaupun membawa bekalan satu gol berharga selepas tewas 1-2 pada aksi pertama 1 Okt lalu, pengendalinya Rachmad Darmawan tidak mahu anak-anak buahnya ghairah mencari gol kerana menyedari Selangor berupaya mengecewakan pasukannya.

Beliau turut mengingatkan anak buahnya agar tidak tertekan untuk mengharungi perlawanan penting itu kerana kekuatan mereka adalah ketika para pemain menikmati sesuatu perlawanan.

"Tumpuan kami bukan sahaja untuk mencari gol malah kami juga perlu mengelak daripada dibolosi pihak lawan...tugas kami makin sukar jadi pemain-pemain harus mengimbangi 90 minit itu nanti.

"Perlawanan ini antara yang terbesar buat T-Team...perasaan tertekan pasti ada jadi para pemain perlu fokus dan bertungkus lumus untuk melayakkan diri ke peringkat akhir nanti," katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai ketiadaan pemain pertahanan Abdoulaye Maiga yang digantung satu perlawanan, beliau berkata pasukannya telah berlatih tanpa Maiga malah ada beberapa perlawanan sebelum ini mereka beraksi tanpanya dan memperoleh kemenangan.

"Tidak dinafikan kami merasai kehilangannya namun dalam bola sepak tiada istilah seorang pemain, apa yang penting adalah satu pasukan.

"Masalah kami adalah untuk beralih daripada situasi bertahan kepada gerakan untuk melancarkan serangan, jadi itu yang saya usahakan ketika ini kerana para pemain harus menggunakan kepantasan terutama di bahagian sayap," katanya.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu berkata beberapa pemain akan diturunkan bagi menggantikan tempat Maiga.

"Nanti kita akan membuat keputusan sama ada menurunkan Hasbullah (Awang), Marzuki (Yusoff) atau (Wan Ahmad) Amirzafran untuk menggantikan tempat Maiga.

"Insya-Allah kami mampu memberi satu persefahaman yang lebih baik dan mempamerkan rentak yang berbeza berbanding aksi di Shah Alam," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS