Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Malaysia perlu menang ke atas Jepun untuk ke separuh akhir

Skuad hoki negara mempunyai misi wajib menang menentang Jepun bagi mencerahkan peluang layak ke separuh akhir, sekali gus
mencapai sasaran pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016.

Ketua jurulatih negara Stephen Van Huizen berkata pasukannya mengambil serius cabaran yang bakal dihadapi apabila berdepan pasukan Matahari Terbit itu meskipun mereka mengalami kekalahan besar kepada India, Khamis lepas.

"Kekalahan Jepun kepada India dengan jaringan besar 10-2 tidak membawa apa-apa makna kepada persiapan Malaysia untuk bertemu mereka esok. Kami perlu bermain lebih baik, memperbaiki segala kelemahan dan sentiasa fokus untuk mencatat kemenangan bagi melayakkan diri ke separuh akhir.

"Walaupun menang ke atas China semalam, pemain dilihat seperti hilang punca pada lima minit terakhir perlawanan dan jika tidak diatasi, ia mungkin boleh membawa padah kepada kita," katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.

Stephen berkata beberapa tonggak utama mungkin tidak diturunkan bagi memberi peluang kepada pemain muda menampilkan keupayaan mereka bersaing di kejohanan peringkat tertinggi.

"Saya percaya Jepun akan berjuang bermati-matian untuk bangkit daripada kekalahan tersebut. Justeru, kita tidak boleh leka dan memberi peluang kepada mereka mencipta jaringan," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Jepun Takahiko Yamabori berkata pihaknya
telah menganalisa corak permainan Malaysia ketika bertemu China semalam, sebagai persiapan menentang skuad tuan rumah itu.

"Malaysia sebuah pasukan yang kuat pada kejohanan kali ini dan kami perlu membuat persiapan rapi sebelum turun beraksi esok," katanya.
-Bernama

Lihat Komen
ADS