MICR 2016 batal, peserta tuntut yuran pendaftaran
Penganjur Melaka International Century Ride 2017 (MICR) memberikan alasan masalah kewangan sebagai punca acara itu terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir.
Pengarah program, Azmar Ab Hamid dari Myskill Media Sdn Bhd berkata pihaknya berasa dukacita susulan pembatalan MICR2016 dan memohon maaf kepada semua peserta yang menghadapi kesulitan.
"Keputusan ini kami buat atas nasihat pihak berwajib dan mereka yang membantu menguruskan acara ini," katanya dalam kenyataan semalam.
Penganjuran acara lumba basikal itu sepatutnya dijangka meriah dengan penglibatan peserta daripada 30 negara yang dijadual berlangsung pada 30 Oktober ini di Jasin, Melaka.
Susulan pembatalan tersebut Azmar berkata, pihak penganjur akan membuka kaunter pengambilan jersi dan pingat kepada peserta pada Sabtu ini bertempat di Dewan Alamanda, Jasin Melaka.
Katanya, pemberian jersi dan pingat penamat itu akan dibuat melalui penghantaran pos bagi peserta yang tidak dapat hadir pada hari tersebut.
"Sekali lagi saya memohon maaf kepada semua peserta , pihak pengurusan MICR, kerajaan negeri, agensi terlibat, penaja dan petugas atas pembatalan acara ini," katanya.
Sementara itu, tinjauan di Facebook rasmi MICR 2016 mendapati rata-rata peserta meluahkan rasa kecewa berikutan pembatalan acara itu.
Malah, mereka turut menuntut yuran pendaftaran yang dikenakan oleh penganjur dan menyifatkan pemberian jersi dan pingat tidak memadai.
Pemilik Facebook Anthony Heng Chin Boon berkata, jersi dan pingat tersebut boleh disimpan penganjur sebagai 'kenangan'.
"Sila kembalikan yuran pendaftaran penuh saya. Matlamat saya mendaftar bukan untuk ambil pingat tanpa kayuhan," katanya.
Bagi Aaron Lee pula, kekecewaannya pula daripada aspek persediaan untuk menyahut cabaran dalam acara itu.
"Aku makan nasi dan dada ayam tanpa garam bersama kubis tiga bulan. Setiap hari latihan empat jam.
"Nampak post (pengumuman) ini terus serbu mekdi (Mc Donald)," katanya.
Difahamkan, yuran pendaftaran dikenakan bagi setiap peserta bernilai RM130, manakala jumlah peserta berdaftar dikatakan mencecah 3,000 orang.
Sementara itu, Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respon penganjur untuk penjelasan lanjut perkara tersebut.

