Kontrak akan tamat tapi Cheng Hoe belum puas
Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe menyatakan harapan awal untuk terus membimbing skuad Helang Merah walaupun kontraknya akan tamat pada November ini.
Sebaik menjulang Piala Malaysia 2016 malam tadi, beliau menyatakan harapan untuk mengemudi Kedah bagi tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
Menurutnya, perjalanan musim ini bersama barisan pemain muda dianggap terbaik.
"Harapan saya memang ingin bersama pasukan Kedah dua tiga musim lagi, kerana kita tahu perjalanan musim ini nampak begitu baik dengan adunan pemain muda.
"Ditambah pemain senior, Baddrol (Bakhtiar) dengan pengalamannya bersama pasukan kebangsaan memberi sumbangan untuk pasukan," katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, malam tadi.
Kedah berjaya menebus kekecewaan musim lalu dengan menewaskan Selangor 6-5 melalui penentuan penalti selepas masing-masing terikat 1-1 dalam 120 minit permainan.
Sejak menjadi jurulatih Kedah pada 2014, Cheng Hoe membawa aura kebangkitan pasukan dalam tempoh agak singkat.
Pada musim 2014 mereka menamatkan cabaran Liga Perdana pada kedudukan keempat sebelum bangkit pada musim 2015 dengan menjuarai kejohanan divisyen kedua itu.
Skuad Helang Merah tampil sebagai pasukan disegani sekali gus meraih naib juara Piala Malaysia musim lalu apabila tewas 0-2 kepada Selangor.
Musim ini, Helang Merah semakin menunjukkan paruh tajamnya dengan menjuarai Piala Malaysia di samping meraih kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super 2016.
Sementara itu, Cheng Hoe turut menyatakan kesediaannya menghadapi musim baru 2017.
"Sudah pasti musim depan satu cabaran berbeza kepada saya dan pasukan.
"Saya kira pihak pengurusan (pasukan) dan pemain akan terus pandang ke depan bagi mengharungi musim depan," katanya.

