Ke separuh akhir, skuad negara berdepan Thailand
Skuad Malaysia terus menampilkan aksi cemerlang apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia yang berlangsung di Bilbao Arena, Sepanyol, semalam.
Pada aksi suku akhir saingan itu yang lebih dikenali sebagai Piala Suhandinata, pasukan negara menewaskan Indonesia 3-1 untuk berdepan Thailand di separuh akhir, selepas pasukan berkenaan terpaksa berhempas pulas sebelum mengalahkan India 3-2 dalam satu lagi pertemuan suku akhir.
Dalam aksi bertemu Indonesia, Malaysia ketinggalan 0-1 selepas pasangan Ooi Zi Heng-Pearly Tan Koong Le tumpas kepada Rinov Rivaldy-Apriani Rahayu 21-18, 14-21, 14-21 dalam acara beregu campuran, demikian menurut laman web kejohanan www.bilbao2016.badminton.es.
Lee Zii Jia, kemudian menyamakan kedudukan selepas menumpaskan Chico Aura Dwi Wardoyo 21-15, 21-11 dalam acara perseorangan lelaki sebelum juara bertahan remaja dunia, Goh Jin Wei menggandakan mata buat Malaysia selepas mencatat kemenangan 21-15, 21-14 ke atas Gregoria Mariska dalam perseorangan wanita.
Gandingan Chen Tang Jie-Man Wei Chong mengesahkan kemenangan pasukan negara selepas menewaskan Muhammad Fachrikar-Bagas Maulana 21-19, 21-17 dalam acara beregu lelaki.
-Bernama

