Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
FAM minta bukti Malaysia jadi hab atur perlawanan

"Kalau ada bukti berlaku pengaturan perlawanan, sila serahkan bukti kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut."

Itu jawapan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin terhadap kenyataan bekas Ketua Keselamatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Chris Eaton yang mendakwa Malaysia kini mengambil alih tempat Singapura sebagai hab mengatur perlawanan di Asia Tenggara.

Beliau berkata Eaton perlu bertindak dengan lebih profesional dengan
mengemukakan bukti dan maklumat kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut, dalam usaha membanteras kegiatan itu demi kebaikan bola sepak negara.

Hamidin berkata FAM mewujudkan Jawatankuasa Integriti bagi tujuan memantau perjalanan Liga Malaysia serta membuat dasar tertentu bagi memperkukuhkan integriti bola sepak di negara ini, selain berusaha membanteras gejala mengatur perlawanan menerusi kaedah Sistem Amaran Awal (EWS) FIFA.

"FAM sentiasa memandang serius isu ini dan mempunyai persefahaman dengan FIFA dan juga Kondeferasi Bolasepak Asia (AFC) dalam bersama-sama menangani masalah ini. Kami sentiasa bekerja rapat dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat yang boleh dipercayai untuk siasatan mereka.

"Persatuan melalui pegawai integritinya bersama-sama dengan barisan
jawatankuasa integriti di setiap persatuan negeri sentiasa mengambil serius segala maklumat diterima sama ada daripada sumber tertentu ataupun daripada FIFA dan AFC," katanya menerusi kenyataan.

Agensi berita antarabangsa AFP, melaporkan Eaton pada sebuah persidangan di Singapura mendakwa Malaysia menjadi hab mengatur perlawanan di rantau ini, selepas republik itu berjaya menumpaskan beberapa sindiket sebelum ini.

Menurut Hamidin, ini kali kedua Eaton mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas mendakwa kononnya ada pegawai tinggi daripada FAM yang terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan pada 2012.

"Susulan itu, satu perjumpaan diadakan pada 5 Mac 2012 antara beliau dan Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Seri Azzuddin Ahmad. Ketika itu juga, beliau diminta mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataannya itu, tetapi beliau gagal berbuat demikian.

"Justeru berhubung dakwaan terbaharunya, pihak persatuan setakat ini tidak menerima apa-apa maklumat berhubung perkara berkenaan, sama ada daripada FIFA mahupun AFC atau sumber-sumber tempatan," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS