Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Ziyad mahu tambah berat badan 5kg untuk ke Sukan Sea
Diterbitkan:  Nov 8, 2016 8:00 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil, Muhammad Ziyad Zolkefli meletakkan sasaran untuk layak
secara merit ke Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

Bagi memastikan impiannya itu tercapai, Muhammad Ziyad yang mencipta rekod dunia 16.84 meter ketika menjuarai acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) di Rio, mahu menaikkan berat badannya.

Menurut Muhammad Ziyad, sekiranya beliau mampu menaikkan berat badan sebanyak lima kilogram lagi, ia akan memudahkannya mencipta jarak lontaran melebihi 17 meter.

"Cadangan itu disuarakan jurulatih saya, Faizul Harun, yang mahukan
saya mencapai berat badan sebegitu.

"Faktor berat badan memainkan peranan penting kerana ia dapat memberi kekuatan pada lontaran," katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis itu, Muhammad Ziyad dinobatkan sebagai ikon HSN Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur 2016 yang disampaikan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kuala Lumpur yang baharu, Abd Aziz Abd Rahman.

Muhammad Ziyad menjelaskan jarak untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan SEA ialah 17.05m dan beliau perlu berlatih dengan lebih keras untuk mencapai catatan itu.

Sebagai rekod, catatan terbaik Muhammad Ziyad adalah 17.12m yang
dilakukannya dalam satu pertandingan di Jerman tahun lepas.
Sementara itu, Muhammad Ziyad yang akan bernikah dengan pilihan hatinya, Zafirah Nasir pada Jumaat ini berkata beliau diberi cuti oleh jurulatinya sehingga hujung November ini dan akan kembali menjalani latihan pada 1 Disember depan.

"Jurulatih turut memberi nasihat untuk saya berlatih sekiranya mempunyai masa terluang dalam tempoh bercuti ini bagi mengekalkan momentum dan prestasi saya.

"Sebagai atlet kebangsaan, saya kena tempuhi segala rintangan yang mendatang kerana mulai Julai depan, saya akan terlibat dalam beberapa kejohanan utama dan perlu berlatih dengan lebih gigih untuk mendapat keputusan cemerlang," katanya. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS