Kemenangan pasukan bola sepak Pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) memenangi Piala FAM 2016 boleh menjadi pencetus untuk menggiatkan penglibatan
golongan belia India dalam bidang sukan.

"Kemenangan ini sangat besar khususnya dalam penglibatan belia India di negara ini. Kemenangan ini juga memberi satu semangat dan keyakinan untuk masa depan yang lebih cerah," kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Menurut beliau kejayaan skuad bola sepak yang baru ditubuhkan tiga tahun lepas itu mampu melonjak penglibatan belia dalam bidang sukan.

"Berbanding zaman dulu, golongan belia India yang mengambil bahagian dalam sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa agak ramai tetapi telah menunjukkan kemerosotan yang besar dari segi jumlah penyertaan mereka pada masa sekarang," katanya.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, ditemui pemberita selepas majlis makan malam meraikan kejayaan pasukan MISC-MIFA di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, malam tadi.

Melalui penganjuran Sukan India Malaysia (Sukim) oleh Majlis Sukan India Malaysia umpamanya, Dr Subramaniam berkata ia boleh memupuk semangat kesukanan di samping menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu.

"Saya yakin sukan boleh membawa satu perubahan atau mungkin satu
penyelesaian kepada beberapa isu sosial yang melibatkan belia India," katanya.

Mengenai penyertaan MISC-MIFA dalam Liga Perdana musim hadapan, beliau berharap pasukan itu terus mendapat sokongan daripada penaja sedia ada dan masyarakat umum.

Katanya berbanding pasukan dalam Liga Perdana yang lain, masing-masing mendapat penajaan kerajaan negeri dan GLC tertentu, sebaliknya MISC-MIFA tidak mendapat tajaan sedemikian.

"Penyertaan MISC-MIFA dalam Liga Perdana akan memberi cabaran baharu kepada pasukan bola sepak ini dan akan turut melibatkan soal kewangan yang besar, oleh itu ia memerlukan sokongan daripada masyarakat secara keseluruhannya," jelas beliau. -Bernama