Penalti bantu Harimau Malaysia kecewakan Papua
Dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat ternyata tidak mematahkan semangat skuad bola sepak negara apabila bangkit menumpaskan Papua New Guinea (PNG) 2-1 dengan bantuan jaringan penalti, sebentar tadi.
Dalam aksi persahabatan antarabangsa A di Stadium Shah Alam itu, anak buah Datuk Ong Kim Swee menerima tamparan seawal minit keenam melalui rembatan penyerang lawan, Nigel Dabinyaga.
Cabaran 45 minit pertama memperlihatkan skuad PNG lebih banyak mengawal permainan walaupun berjaya diseimbangkan pemain Malaysia.
Jentera serangan skuad Harimau Malaysia yang mempertaruhkan pemain veteran Amri Yahyah dibantu pemain muda Ahmad Hazwan Bakri banyak menggunakan ruang tengah bagi menggempur benteng pertahanan PNG.
Hasilnya, pasukan tuan rumh berjaya menyamakan kedudukan melalui umpanan Darren Lok disempurnakan Ahmad Hazwan yang bijak memperdayakan pertahanan dan penjga gol lawan.
Gol penyamaan itu sekali gus membangkitkan moral pasukan yang dilihat tampil lebih agresif.
Minit ke-33 malaysia melakukan satu serangan balas pantas berjaya menewaskan pertahanan lawan, bagaimanapun percubaan Baddrol Bakhtiar agak meninggi.
Seminit berselang, PNG pula menguji daya tahan skuad tuan ruah.
Melalui gerakan satu dua Tommy Semmy dan Jacob Sabua berjaya mengelirukan pemain pertahanan negara sebelum melepasi halangan penjaga gol Mohd Khirulazhan Khalid, namun percubaan susulan Tommy sedikit tersasar di sisi kiri gawang.
Sebaik sepak mula separuh masa kedua, anak buah Kim Swee terus mengatur rentak serangan.
Tuah memihak kepada Malaysia apabila pengadil dari Thailand Alongkron Feemuechang menghadiahkan sepakan penalti untuk pasukan negara selepas Alvi Komolong menjatuhkan Darren Lok.
Sepakan diambil Amri pada minit ke-46 itu berjaya meletakkan Harimau Malaysia di depan untuk kedudukan 2-1.
Persembahan di separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Kim Swe melakukan enam pertukaran pemain di babak kedua termasuk memasukan Safee Sali dan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Bagaimanapun, percaturan melalui pertukaran pemain ditambah keadaan hujan lebat gagal menghasilkan tambahan jaringan sehingga wisel penamat.

