Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Tan Sri Annuar Musa tetap dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Bagaimanapun, dengan keputusan itu beliau turut mengambil tanggungjawab untuk memastikan skuad The Red Warriors dapat bersaing dalam liga Malaysia musim depan, dengan menyelesaikan masalah dananya.

Katanya, tiga keputusan telah dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan barisan exco tertinggi Kafa hari ini.

"Pertama saya kekal dengan keputusan untuk tidak menjadi presiden dengan tujuan membuka pintu seluas-luasnya kepada individu lain bagi menyambung tugas ini.

"‎Kedua, oleh kerana bukan niat saya menyebabkan pasukan Kelantan tak boleh bertanding dan kita perlu untuk teruskan Liga Super musim depan.

“Melalui syarikat saya, saya akan sediakan RM3 juta bon seperti disyaratkan FAM untuk penyertaan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Annuar meletakkan jawatan sebagai presiden Kafa sebelum hasratnya itu ditolak barisan kepimpinan persatuan itu.

Walaupun bukan lagi presiden Kafa, atas komitmen terhadap kesinambungan bola sepak Kelantan beliau turut bersetuju untuk menyediakan dana berjumlah RM500,000 kepada Kafa untuk pembayaran tunggakan gaji pemain.

‎"Ketiga, saya dengar masalah tunggakan gaji selepas penaja tidak dapat beri peruntukan mereka. Maka sebagai membuktikan komitmen, minggu depan saya ikhtiarkan RM500,000 untuk membayar gaji-gaji pemain.

"Saya janji dalam masa lima hari saya cari untuk beri kepada Kafa untuk bayar gaji pemain, tetapi dana ini tak boleh guna untuk benda lain," katanya.

Lihat Komen
ADS