Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan

Tatkala pelbagai pihak menggesa skuad Harimau Malaysia memboikot kejohanan bola sepak Piala AFF di Myanmar, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula mengambil pendekatan berbeza.

ABIM sebalik melancarkan kempen #IngatBolaIngatRohingya bersama Nasi Kandar Line Clear (LC) Kampung Baru bagi mengadakan tayangan perdana video perlawanan separuh akhir dan akhir Piala AFF Suzuki 2016.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata bersempena tayangan tersebut satu siri laporan khas berkenaan penderitaan umat Islam Rohingya akan dipertontonkan.

"Kita kena konsisten dan istiqomah dalam membantu Rohingya ini. Apa yang berlaku ini telah lama berlaku sebelum kejohanan AFF Suzuki lagi.

"Kita bercakap secara bermusim, itu masalah kita sama seperti apa yang berlaku kepada Syria, Palestin dan Iraq.

“Berapa ramai lagi dikalangan mereka yang tertindas," soal Muhammad Faisal pada sidang media di ibu pejabat ABIM, Kuala Lumpur hari ini

Beliau berkata usaha memboikot itu sudah lagi tidak berkesan dan ia hanya akan berlaku secara bermusim.

Tetapi berbeza dengan pendekatan yang diambil mereka di mana ia akan berlangsung dalam jangka waktu yang lama selain bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan belia.

Selain siri tayangan khas berkenaan penderitaan umat Islam Rohingya, ABIM juga akan menganjurkan beberapa siri perlawanan persahabatan bola sepak di sekolah miliknya, flash mob serta wacana isu Rohingya secara terbuka yang melibatkan komuniti, qariah dan sebagainya.

Kempen hari ini turut mendapat kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), FC Barcelona Fans (Malaysia), Real Madrid Fans (Malaysia), Global Peace Malaysia dan Malaysian Lifeline For Syria.

Sementara itu, Ketua Biro Tugas-yugas Khas (Media) ABIM, Zairuddin Hashim berkata tindakan mahu memboikot kejohanan Piala AFF ini seolah-olah ada unsur mendapatkan kepentingan pihak tertentu sahaja.

Di mana yang akhirnya menjadikan sukan sebagai mangsa.

"Kita peminat bola mahu lihat pasukan kita berjaya. Kalau betul nak boikot Myanmar kenapa tidak semasa pemimpin negara itu datang ke Malaysia dua, tiga tahun lepas tak halang.

"Kita tidak nafikan boikot ini ada nilai dan kesan dia tapi kenapa sukan jadi mangsa? soal Zairuddin.

Kata Zairuddin yang adalah juga blogger Retro Bola Sepak, jika benar mahu memulaukan kejohanan Piala AFF, usaha tersebut perlu dilakukan sebelum pertandingan berlangsung.

"Kita perlu boikot sebelum pertandingan, ini dah bertanding. Niat boikot betul tapi tak kena pada masanya," katanya.

Pada kejohanan Piala AFF yang bermula sejak 20 November lalu, Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama Myanmar selaku tuan rumah.

Dalam perlawanan menentang Kemboja hujung minggu lalu, Malaysia menang dengan keputusan 3-2. Pasukan negara bertemu Vietnam hari ini dan akan berentap dengan Myanmar pada Sabtu.

Kumpulan A pula melibatkan pasukan-pasukan Thailand, Singapura, Filipina dan Indonesia yang diadakan serentak di Filipina.

Lihat Komen
ADS