Bekas pemain Manchester United dan pernah mengemudi kelab Bengaluru FC, Ashley Westwood, diumum sebagai ketua jurulatih baru skuad bola sepak Pulau Pinang.

Lahir di Bridgnorth, England, Westwood pernah berkhidmat dengan pelbagai kelab di negara itu.

Selain MU, Westwood pernah bermain untuk Sheffield Wednesday, Portsmouth dan Kettering Town adalah kelab terakhir diwakilinya sebagai pemain pada 2012.

Westwood, 40, kemudian mengembangkan kerjayannya sebagai pengurus atau ketua jurulatih dengan kelab Kettering Town pada tahun sama.

Dia kemudian diambil mengemudi Bengaluru FC sejak 2013.

Memetik kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Arif, Utusan Online melaporkan Westwood ditawarkan kontrak selama dua tahun mengemudi skuad Harimau Kumbang itu.

Westwood akan berkhidmat di Pulau Mutiara itu bagi menggantikan Nenad Becina yang sebelum ini ditamatkan perkhidmatannya.

Pulau Pinang menamatkan saingan Liga Super pada musim lalu di tangga ke-10. Namun ketika ini skuad berkenaan mencipta keunikan tersendiri apabila pemain mereka, Faiz Subri, dicalonkan untuk anugerah berprestij, Puskas Fifa 2016.

Pengurusan FAP dilaporkan mahu mencari ketua jurulatih yang baru dan berkemampuan bagi mengangkat kedudukan skuad itu ke tempat lebih baik.

Berada di tempat ke-10 bukanlah sesuatu yang boleh melegakan FAP. Justeru mereka dilaporkan mula mencari pengganti Becina dengan memfokuskan jurulatih yang berdaya saing.

Di tangan Westwood, Bengaluru FC menjadi kelab yang bertanggungjawab menjinakkan - sekali gus meleburkan impian - pasukan JDT untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFC tahun ini.

Laluan kelab dari selatan tanahair itu disekat agregat 2-4 selepas perlawanan separuh akhir kedua berlangsung pada 19 Oktober lalu.

Bagaimanapun pada perlawanan akhir 5 November lalu di Doha, Qatar, Bengaluru FC gagal menggapai impian mereka apabila kecundang 0-1 kepada kelab al-Quwa al-Jawiya dari Iraq. 

Ia adalah kali pertama kelab dari Iraq mengungguli piala kejohanan bola sepak peringkat Asia.