Conmebol sahkan kejuaraan Chapecoense
Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) secara rasmi mengumumkan kelab Brazil – Chapecoense – sebagai juara Copa Sudamericana 2016, awal pagi tadi.
Sementara lawan Chapecoense untuk aksi pentas akhir, Atletico Nacional dari Colombia akan mendapat penghargaan sebagai pasukan yang berpegang kepada prinsip permainan adil.
Ia kerana keputusan untuk menobatkan skuad Big Green sebagai juara diusulkan Atletico Nacional selepas tragedi nahas membabitkan pasukan Chapecoense itu.
"Kami menyarankan Conmebol menobatkan Chapecoense sebagai juara Copa Sudamericana sebagai satu penghormatan terhadap kehilangan dialami mereka, serta tanda hormat buat mangsa korban tragedi tersebut.
“Bagi Atletico Nacional, Chapecoense adalah juara Copa Sudamericana," kata kenyataan rasmi Atletico Nacional.
Tragedi pesawat yang membawa rombongan kelab bola sepak Chapecoense yang terhempas di pergunungan Colombia, 29 November lalu mendapat simpati bola sepak dunia.
Dunia berkabung susulan insiden mengorbankan 76 mangsa itu.
Pesawat yang disewa itu dikendalikan syarikat Bolivia, LAMIA, berlepas dari Santa Cruz, Bolivia sebelum mengumumkan kecemasan kira-kira jam 10 malam waktu tempatan.
Ia dilaporkan akibat kerosakan elektrik dan terhempas sebaik menghampiri bandar Medellin, kata pegawai penerbangan.
Sementara itu, pengurusan Chapecoense akan menjadikan kejuaraan tersebut sebagai penghormatan mangsa nahas tragedi itu.
"Conmebol sudah mengesahkan Chapecoense menjadi juara Copa Sudamericana. Kami sudah menerima dukungan dari semua persatuan; Conmebol, CBF (Persatuan Sepak Bola Brasil), Fifa, dan warga Chapecoense," kata pemangku rpesiden Chapecoense Ivan Tozzo.
Tozzo berkata, kelabnya akan segera memberi tumpuan untuk kembali menyusun dan membangunkan semula pasukan.
"Semua orang di Chapeco menyukai bola sepak. Kelab ini perlu terus wujud dan akan membangunkan semula skuad untuk tahun depan," katanya.

