Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Gara-gara tidak diberi jaminan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk terus beraksi dalam liga malaysia musim depan, PKNS FC mengambil langkah untuk beralih arah.

Kini mereka bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS).

Pengarah Operasi PKNS FC, Faisal Zakaria, berkata pengurusan pasukan terpaksa mengambil keputusan drastik itu kerana tarikh penyertaan liga Malaysia musim depan akan ditutup Jumaat ini.

Sesuatu penyertaan dalam liga Malaysia, katanya, mestilah mendapat sokongan daripada sesebuah persatuan.

Dalam keadaan semasa kata Faisal, FAS masih gagal memberikan sokongan untuk PKNS FC menyertai liga Malaysia dan ia mendorong mereka beralih arah dengan bernaung di bawah PBMS.

Bagaimanapun katanya, pada masa sama PKNS FC masih menjadi ahli gabungan FAS dan menyerahkan kepada persatuan tersebut untuk menentukan status mereka.

"Pada masa ini, PKNS FC masih di bawah naungan FAS. Kami juga belum memberi notis kepada FAS.

"Surat hanya diberikan kepada FMLLP (Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) dan FAM.

"Dalam tempoh amat singkat seperti ini, kami perlu mencari ahli gabungan lain (iaitu satu negeri) yang membolehkan pasukan PKNS FC beraksi dalam Liga Super tahun depan," katanya kepada media di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Nak keluar, tak boleh buat apa

Jelas Faisal, FAS secara tidak rasmi sudah mengetahui mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, hubungan PKNS FC dan FAS tiada masalah dan keputusan beralih kepada PBMS diambil demi menyelamatkan bola sepak dan kedudukan pasukan PKNS FC.

"Sebelum kami memutuskan perkara ini, kita telah kaji dan mencari maklumat tentang pertukaran naungan ini. Tindakan kami tidak melanggar peraturan.

"Buat masa ini tidak akan timbul soal pengesahan penyertaan PKNS FC dalam liga Malaysia musim depan kerana keputusannya ditentukan FMLLP," katanya yang menghantar surat sokongan dan pengesahan PBMS hari ini.

Sementara itu Setiausaha Agung FAS Rosman Mohd Ibrahim berkata, keputusan PKNS FC bernaung di bawah PBMS adalah hak mereka.

"Sekiranya PBMS terima, terpulang kepada PKNS FC dan terpulang kepada FAM sama ada PKNS FC boleh beraksi musim depan atau tidak.

"Kalau mereka mahu keluar FAS kita tidak boleh buat apa.

"Kita akui memang kerugian apabila PKNS FC keluar, tapi buat masa sekarang inilah keadaannya.

"Presiden FAS pun tidak respon kedudukan PKNS FC, kami anggota exco juga tidak dapat melakukan sebarang keputusan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata pihaknya akan meneliti permohonan PKNS FC dengan merujuk kepada peruntukan undang-undang.

Katanya, klausa ahli gabungan adalah di bawah kuasa FAM dan badan induk itu akan menentukan kedudukan dan nasib skuad Semut Merah itu pada msuim depan.

"Kalau ada apa-apa status yang timbul mengenai isu ahli gabungan, kita akan rujuk FAM dan kalau FAM kata pasukan itu mempunyai badan gabungan yang sah maka FMLLP akan terima," katanya.

Lihat Komen
ADS