Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Masalah pencarian penaja bagi pasukan Kelantan dikatakan akan berakhir selepas timbul desas desus beberapa syarikat bersedia menjadi penaja.

Khabar angin dari Pantai Timur mengenai isu penajaan itu bertiup kencang sejak kebelakangan ini dan sekiranya benar, ia bakal menjadi berita menggembirakan buat penyokong The Red Warriors.

Selepas penarikan penajaan syarikat Vida Beauty Sdn Bhd, risikan Malaysiakini Sukan mendapati satu lagi syarikat kecantikan akan tampil menjadi tulang belakang kewangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Sebuah syarikat yang berpusat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dikatakan sedang melakukan perbincangan dengan pengurusan Kafa sebelum mengesahkan penajaan mereka.

Syarikat kosmetik yang popular dengan produk berasaskan kologen itu dipercayai antara tiga syarikat yang akan menjadi penaja utama.

Terdahulu, Kafa dibelenggu masalah penajaan selepas Vida Beauty enggan meneruskan penajaan walaupun kontrak berbaki sehingga musim 2017.

Penajaan berjumlah RM16 juta untuk dua musim yang dipersetujui pada Januari lalu bagaimanapun gagal diteruskan sehingga musim depan.

Sementara itu Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata, Kafa kini sudah mempunyai beberapa penaja bersama.

Namun, bagi penaja utama ia belum dimuktamadkan.

"Saya tak boleh komen apa-apa setakat ini. Ya, memang ada pihak sudah berminat menjadi penaja utama dan masih dalam perbincangan.

"Kita akan umumkan bila semuanya selesai nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Lihat Komen
ADS