Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Cabaran Piala FA musim depan bakal menyaksikan pertemuan menarik antara penyandang juara Liga Super, JDT, dan naib juaranya‎ Felda United FC bertemu pada perlawanan pertama masing-masing pada 17 Februari 2017.

Kedua-dua pasukan ditakdirkan bertembung selepas proses undian berlangsung di Shah Alam hari ini‎.

Pada perlawanan itu nanti skuad Harimau Selatan bimbingan Mario Gomez akan bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang, untuk ‎aksi kalah mati.

Sementara itu, saingan awal itu juga akan mempertemukan juara Liga Perdana 2016, Melaka United, berdepan cabaran naib juara, PKNS FC.

Sebagai juara dan naib juara liga masing-masing, keempat-empat pasukan tidak perlu bersaing pada pusingan pertama - yang akan berlangsung pada 5 Februari.

Pusingan pertama dikhususkan untuk 10 pasukan dari Liga FAM. Tiga lagi pasukan untuk liga sama - KDMM FC, UKM FC dan MPKB-BRI U-BES mendapat bye dan melangkah ke pusingan kedua secara automatik.

Perlawanan pusingan kedua akan berlangsung pada 17 Februari.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Kapten Mohd Fahmy ‎Yahya berkata keputusan undian itu dilihat seimbang kepada peminat kedua-dua pasukan.

"Terlalu awal untuk kita mengulas mengenai perlawanan ini, tetapi kami akan lakukan yang ‎terbaik seperti biasa.

"Kita akan bertandang ke gelanggang lawan dan buat persiapan serta latihan seperti biasa," katanya kepada media selepas majlis undian berlangsung.

Bagi jurulatih Felda United, Azmi Mohamed, dia juga berpendapat pertemuan tersebut seimbang dan pasukannya mempunyai peluang untuk menewaskan JDT.

Namun katanya ia bergantung pada persiapan pasukan terlibat serta kemampuan pemain memberikan fokus sepenuhnya di padang.

"Beraksi di tempat sendiri bukan kelebihan untuk kami," katanya.

JDT pula, kata Azmi, pasti mahu pertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada musim lalu.

"Tetapi tahun depan adalah musim baru, dalam pasukan juga berlaku perubahan," jelasnya.

Piala FA tahun ini menyaksikan JDT muncul juara selepas menundukkan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam, Mei lalu.

Untuk saingan pusingan kedua musim depan, secara keseluhan sebanyak 32 pasukan terlibat dan perjalanan separuh daripadanya akan terhenti sebelum sempat melangkah ke pusingan ketiga.

Lihat Komen
ADS