Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kafa 'mula panik' seru bakal penaja tampil segera
Diterbitkan:  Jan 3, 2017 6:37 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyeru pihak yang berhasrat untuk penaja skuad The Red Warriors supaya tampil segera untuk membuat perbincangan.

Dalam kenyataan hari ini, menurut persatuan itu kini bersedia berbincang sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan sebelum Khamis ini.

"Kafa tentu sekali tidak boleh mengambil kira sebarang maklumat berdasarkan cakap-cakap dan publisiti sebelah pihak selagi tiada dokumen rasmi termeterai antara kedua pihak.

"Ini semua akan menjadi asas keputusan sama ada Kafa akan meneruskan cabaran atau menarik diri," katanya kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi TRW, hari ini.

Terdahulu, pasukan Kelantan berhasrat menarik diri daripada saingan liga Malaysia 2017 selepas gagal mendapatkan penajaan untuk menampung perbelanjaan pasukan yang mencecah RM15 juta kerana hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil.

Beberapa pihak sebelum ini dilaporkan bersedia untuk menjadi penaja pasukan itu, namun difahamkan tiada tindakan susulan dilakukan.

Tambah kenyataan dikeluarkan Urusetia Kafa itu, pihaknya berada dalam kecemasan dan semua pihak mesti mengambil tanggungjawab dan yang tidak tertangguh.

Bagi tujuan itu menurut Kafa, mereka memerlukan segala-galanya dimuktamadkan sebelum Khamis ini sebelum jam 10 pagi.

"Pelbagai kemungkinan terpaksa ditanggung oleh Kafa. Kafa juga ingin tahu jumlah kutipan (dana) daripada Jawatankuasa Bertindak Bekas-bekas Pemain dan lain-lain pihak yang menunjukkan simpati terhadap Kafa.

"Kafa berjanji akan mendedahkan secara hitam putih jumlah kutipan sebenar setakat ini dalam pelbagai bentuk dan perkhidmatan sehingga kini," katanya.

Sementara itu persatuan itu juga menyambut baik hasrat Kerajaan negeri Kelantan untuk membantu mereka bagi meneruskan cabaran Liga Super Musim 2017.

Mengulas lanjut perbincangan dengan kerajaan negeri semalam, Kafa menjelas kerajaan negeri sanggup mengambil alih pengurusan pasukan melalui syarikat-syarikat atau pihak tertentu atas restu Kerajaan Negeri.

"Kaedah dan proses penswastaan pasukan ini akan diperincikan kemudian. Cuma kalau inilah hasratnya, maka pihak Kafa terpaksa memberi garis panduan dan deadline untuk membolehkan Kafa menyelesaikan elemen teknikal dengan FAM," jelas kenyataan tersebut.

Lihat Komen
ADS