Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Bertenang, FAS cari jalan atasi krisis
Diterbitkan:  Jan 3, 2017 9:18 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Bertenang, itulah gesaan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berhubung krisis yang melanda persatuan itu.

Menurutnya, beliau mengambil maklum berhubung krisis yang melanda FAS sehingga mengakibatkan pengunduran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari jawatan presiden yang diumumkan melalui satu kenyataan media sebelum ini.

"Saya selaku timbalan presiden dengan tegas meminta semua pihak termasuk Exco FAS supaya bertenang dan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin sebelum ini melepaskan jawatannya selepas mendakwa FAS sebuah organisasi dan pengurusan tidak berwibawa dan tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bola sepak Selangor.

Susulan itu timbul kenyataan saling menyerang antara Setiausaha Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim dan bekas pengurus skuad Selangor Amirudin Shari mengenai ketidakpuasan hati antara kerajaan negeri dan FAS.

Justeru Mokhtar berkata, pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi selepas mesyuarat Exco yang akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kita tetap menghormati kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar (Mohamed Azmin) dan saya akan memohon untuk bertemu beliau.

"Berhubung isu pembayaran gaji dan bonus pemain, FAS akan berbincang dan mencari jalan terbaik dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu ini memandangkan FAS mempunyai tanggungjawab kontrak bersama pemain.

"Akhirnya, saya berharap agar semua pihak dapat bertenang dan memelihara maruah serta kegemilangan bola sepak Negeri Selangor," katanya.

Terdahulu, FAS yang mahu Mohamed Azmin Amirudin memenuhi janji melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi November serta bonus mara ke final Piala Malaysia 2016.

Amirudin kemudian menjelaskan persatuan itu sepatutnya memiliki wang mencukupi untuk menyelesaikannya memandangkan dana FAS mempunyai kira-kira RM2.5 juta selepas menjual beberapa pemain bintang.

Lihat Komen
ADS