Dimension Data dari Afrika Selatan menjadi pasukan Jelajah Dunia pertama mendaftarkan diri untuk menyertai edisi ke-22 Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan berlangsung dari 22 Feb hingga 1 Mac ini.
Ketua pegawai eksekutif LTdL Emir Abdul Jalal berkata, pasukan itu mencipta nama di Asia Tenggara sebagai juara bertahan setelah menjuarai kelas keseluruhan sebanyak dua kali berturut-turut, dengan Youcef Reguigui dan Reinardt Janse van Rensburg sebagai peneraju utamanya.
"Dalam sejarah kami sepanjang tiga dekad, belum ada pasukan yang berjaya mencipta hatrik, maka ini merupakan suatu cabaran bagi mereka. Semua orang kini menyebut tentang Afrika apabila bercakap tentang lumba basikal, tetapi ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi kami di Malaysia.
"Dalam edisi pertama Le Tour de Langkawi pada 1996, pasukan kebangsaan Afrika Selatan itu telah dijemput mengambil bahagian. Douglas Ryder, bos nombor satu Dimension Data sekarang, adalah antara anggotanya," kata Emir dalam kenyataan di sini hari ini.
Ryder adalah antara penunggang terhebat pada beberapa tahun pertama perlumbaan itu (menduduki tempat kelima keseluruhan pada 1996 dan dinobatkan sebagai Raja Bukit pada 1998).
Sekiranya Dimension Data mencipta hat-trick dalam penyertaannya bagi kali ketujuh berturut-turut pada LTdL, ia melakarnya bersama-sama penunggang ketiga yang lain kerana Reguigui dan Janse van Rensburg tidak menyertainya kali ini.
Bagaimanapun, nama juara bertahan itu berada dalam senarai awal bersama-sama Jacques Janse van Rensburg.
Dimension Data mungkin membuat kejutan dengan menurunkan penunggang profesional baharu, Ryan Gibbons dan Ben O'Connor, masing masing dari Africa Selatan dan Australia.
-Bernama
