Tidak ramai yang tahu bakat unik pemain Pulau Pinang, Faiz Subri, sudah mula terpancar ketika dia berusia seawal dua tahun.

Dalam usia yang sementah itu, Faiz menunjukkan kemampuannya menggelecek datuknya.

Kisah itu diceritakan bapa Faiz, Subri Kader, kepada Malaysiakini Sukan hari ini.

Menurut Subri ketika itu Faiz baru saja pandai berlari dan mengenal bola.

"Ada satu hari Wan (datuk) Faiz layan anak saya main bola, dan dia dapat lepasi halangan Wan.

"Dari situ Wan dia cakap, budak ini boleh main bola apabila besar nanti," katanya sambil menjelaskan bapanya itu sudah meninggal dunia.

Faiz kini meletakkan nama Malaysia di peta dunia apabila tendangan cantiknya ketika mewakili Pulau Pinang menentang Pahang - pada Februari tahun lalu - memikat ramai peminat bola sepak.

Keunikan tendangan anak kelahiran Ayer Hitam di Kedah itu membolehkan dia menjadi satu daripada tiga calon terakhir anugerah Puskas 2016.

Pemenang ditentukan melalui undian oleh laman sesawang rasmi Fifa [Klik di sini untuk mengundi].

Nasib dan tuah Faiz dilihat cerah berdasarkan sambutan orang ramai terhadap video sepakannya.

Undian atas talian masih berlangsung sehingga 9 Januari ini.

Subri berkata, apabila anak kelimanya itu semakin membesar dia kian melihat bakat dan potensi yang ada pada Faiz.

"Dia minat sukan bola sepak. Sebagai anak kampung dia memang terdedah dengan bola sepak dengan sebab persekitaran kampung memang begitu.

"Dia dipilih mewakili sekolah ketika baru darjah empat. pada masa sama dia main bola di kampung bersama kawan-kawan.

"Macam-macam liga setempat dianjurkan dan Faiz sertai. Kami nampak minat dan kebolehannya ketika itu," jelasnya.

Bekas pesawah berusia 65 tahun itu berkata, Faiz pernah dibawa ke beberapa kem pemilihan bakat muda walaupun tidak berjaya menyertai mana-mana akademi bola sepak.

"Saya akan bawa dia ke pemilihan pasukan bola sepak remaja, kalau tak bawa dia marah, merajuk, kata tak beritahu ada pemilihan.

"Apabila bawa dan tak dipilih pun dia marah, kata tak nak pergi dah lepas tu," katanya sambil ketawa menceritakan kerenah anaknya.

Namun Subri tetap bersabar dan melihat bakat anaknya itu terus berkembang ketika di sekolah menengah, sebelum terpilih mewakili skuad Piala Presiden Kedah dan menyertai kelab Tambung Tulang, Perlis.

"Selepas itu dia berjaya mewakili Perlis sebagai pemain bola sepak profesional sehingga hari ini," kata Subri yang mengharapkan Faiz berjaya mencipta sejarah Isnin ini.