Paling Popular
Terkini
story images
story images

Laksana persembahan lenggang-lenggok wayang kulit yang mengasyikkan, episod penarikan diri skuad Kelantan daripada liga Malaysia tidak kalah debarannya.

Di tangan tok dalang, gerakan demi gerakan watak-watak dalam Hikayat Seri Rama di layar putih mudah benar melekakan penonton.

Maka di situ ada watak Dewa Sealam Tunggal yang menjadi pendamai dan menyelamatkan dunia. Jika anda kurang mengenali panggilan itu, cuba pula nama ini - Pak Dogol.

Walaupun kedengaran lucu dan remeh, Pak Dogol adalah watak terpenting dan - dari banyak sisi - amat terhormat. Berselindung di sebalik nama "Dogol" itulah Dewa Sealam Tunggal melakukan rencananya.

Seperti dijanjikan, maka hari ini berita tentang masa depan skuad Kelantan itu pun 'pecahlah'.

Wira yang didendangkan hari ini tidak lain dan tidak bukan ialah Tan Sri Annuar Musa. Anggota parlimen Ketereh itu menjadi penyelamat bukan saja skuad The Red Warriors (TRW) malah harapan penyokong skuad berkenaan.

Ungkapan "set kito jange pecoh" yang menjadi antara ayat keramat di kalangan penyokong Kelantan kini bagaikan menjadi azimat untuk skuad berkenaan mengharungi pahit getir liga Malaysia.

Slogan itu menyeru penyokong dan sesiapa yang terlibat dalam bola sepak negeri itu supaya bersatu-padu dalam apa jua situasi.

Banyak pihak beranggapan krisis melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak penghujung tahun lalu adalah 'kisah dongeng' seperti Hikayat Seri Rama itulah.

Hari ini Annuar - yang dipanggil Abe War di media sosial tertentu - bagai membenarkan tanggapan umum.

Gagal itu biasa

Beliau tampil 'menyelamatkan dunia' dan sekaligus mempertahankan maruah pasukan yang pernah digeruni di persada sukan bola sepak tempatan.

Pada masa sama di sebalik pelbagai komentar dilontarkan kepada Annuar, beliau tetap bersemangat untuk memastikan Kelantan dan bola sepak berpisah tiada.

Rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang perlu menyambut khabar baik yang hadir pada penghulu segara hari ini dengan rasa syukur yang amat besar.

Siapa tahu, ketika Kafa terumbang-ambing menangani krisis kewangan dan membuat keputusan untuk menarik diri dari liga Malaysia, Annuar mungkin mengamati perkembangannya dan secara senyap merangka perancangan tersendiri.

Semuanya tentulah dilakukan kerana Annuar sayangkan bola sepak khususnya Kelantan biar pun beliau tidak lagi mempunyai jawatan di Kafa.

Perlu diingat, setakat ini tiada mana-mana individu berani tampil untuk menggantikan posisinya itu.

Berdepan dengan pelbagai kecaman dan kritikan - termasuk daripada Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim - Annuar adalah Annuar.

Memetik kata-kata legenda bola sepak wanita AS, Mia Hamm: "Kegagalan sentiasa berlaku. Ia terjadi pada hidup setiap hari. Apa yang menjadikan anda lebih baik ialah bagaimana anda bertindak balas atas kegagalan itu."

Kita boleh lihat bagaimana konteks kenyataan itu dengan situasi yang berlaku pada bola sepak Kelantan. Dan bagaimana Annuar bertindak balas dengan kesempatan yang ada ke arah sesuatu yang lebih baik.

Ini kerana, bola sepak bukan hanya berlari di atas padang selaju-lajunya. Ada masa perlu berlari-lari anak, berkeliaran dengan lincah dan menggelecek lawan.

Matlamat akhirnya tetap satu - menjaringkan gol.

Itulah yang dilakukan Annuar untuk bola sepak Kelantan kali ini atas alasan apa sekali pun, dia sudah menjaringkan gol.

Memanglah ada pesanan daripada bosnya, Datuk Seri Najib Razak supaya dia bertindak menyelamatkan bola sepak negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga itu.

Cuma sepatutnya kita boleh yakin, tanpa arahan perdana menteri sekali pun, Annuar akan cekap bertindak.

Sekali lagi terima kasih Abe War, set kito jange pecoh!

Lihat Komen
ADS