Cabaran Pulau Indah dijangka tarik 1,200 peserta
Edisi kedua acara berbasikal Cabaran Pulau Indah 180 pada 15 Jan ini dijangka menarik penyertaan kira-kira 1,200 pelumba tempatan dan luar negara, kata ketua pegawai eksekutif Central Spectrum
(M) Sdn Bhd (CSSB) Mahmud Abbas.
Beliau berkata acara tahun ini akan menyaksikan pengenalan cabaran baharu iaitu 'Kategori Berpasukan' untuk memberi peluang kepada pelumba merasai pengalaman perlumbaan seperti Le Tour de Langkawi (LTdl).
"Melalui Kategori Berpasukan, penunggang akan merasai keseronokan berlumba seperti penunggang profesional (Ride Like A Pro) kerana kami menggunakan khidmat pakar operasi dan teknikal LTdL bagi memastikan acara itu berkualiti tinggi," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya baru-baru ini.
Menurut beliau, kategori baharu itu, yang dihadkan kepada 30 pasukan
pertama, akan diadakan mengikut peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa, yang menggunakan kemudahan perlumbaan profesional, termasuk kemudahan komunikasi perlumbaan, komisaris dan kereta pasukan.
Mahmud berkata penunggang akan memulakan perlumbaan dari pejabat Central Spectrum di Pulau Indah dan menuju ke Morib, Banting serta Sepang sebelum berpatah balik ke pejabat itu, yang meliputi jarak 180 kilometer.
Acara anjuran bersama CSSB dan Ciclista Sports Sdn Bhd dengan sokongan Majlis Perbandaran Klang ini, menawarkan hadiah wang berjumlah RM40,000.
Mahmud berkata acara itu juga bertujuan memperkenalkan lagi Pulau Indah sebagai destinasi komersial dan untuk menarik pelabur asing ke zon industrinya.
"Pulau Indah 180 berhasrat menjadi satu daripada alat pemasaran CSSB bagi menarik pelumba basikal antarabangsa yang boleh menyumbang kepada pelaburan langsung asing secara berterusan.
Mahmud berkata kira-kira 1,000 penunggang dari 17 negara mengambil bahagian dalam acara itu tahun lepas. -Bernama

