Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
KJ: Gaji siling menidakkan nilai pasaran pemain

Had gaji siling pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) mungkin boleh menidakkan nilai pasaran pemain bola sepak tempatan yang berkualiti.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata sekiranya seseorang pemain tempatan sudah mencapai nilai pasaran yang tinggi, penggunaan had gaji siling itu akan menidakkan harga pasaran sebenar pemain itu.

"Jika pemain tempatan sudah mendapat tawaran tinggi, kenapa kita menidakkan kuasa pasaran tersebut, itulah nilai sebenarnya. Selain itu menghadkan gaji siling akan menyebabkan pasukan Liga M tidak boleh memiliki pemain import yang berkualiti tinggi.

"Namun jika seperti sekarang (tiada had gaji siling) hanya sesetengah
pasukan sahaja yang boleh menguasai khidmat pemain bernilai tinggi," katanya kepada pemberita di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya.

Khairy bagaimanapun tidak menetapkan pendiriannya mengenai cadangan had gaji siling pemain Liga M kerana keputusan itu perlu mengambil kira hasil perbincangan terperinci Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), persatuan negeri dan kelab bola sepak serta pemain.

Beliau percaya selepas pemilihan kepimpinan baharu FAM pada tahun ini, segala isu mengenai gaji pemain akan dibincangkan dengan lebih mendalam agar masalah ini dapat diselesaikan

"Ada liga di luar sana yang mengamalkan had gaji siling dan terdapat liga
yang tidak mengamalkannya. Ada pendapat mengatakan liga yang sedang membangun seperti Malaysia ini perlu ada siling untuk membantu pasukan yang tidak mempunyai sumber kewangan yang besar.

Tetapi pandangan lain pula, jika tiada gaji siling, bola sepak negara tidak
akan maju," katanya.

Media tempatan melaporkan Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan mencadangkan agar FAM segera memperkenalkan had gaji siling untuk pemain dalam Liga M.

Velappan berkata langkah itu penting bagi mengelak pasukan berdepan krisis kewangan dalam mempersiapkan pasukan untuk musim baharu seperti dihadapi beberapa pasukan termasuk Kelantan dan Selangor. -Bernama

Lihat Komen
ADS