Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Skuad hoki wanita M'sia catat sejarah ke final WHWL

Malaysia melakar sejarah mara ke final Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia Wanita (WHWL) selepas menundukan pasukan pilihan pertama, Itali 2-1 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi separuh akhir di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Pemain kebangsaan, Fatin Shafika Mahd Sukri muncul wira negara apabila menyempurnakan dua gol pada penentuan pukulan penalti selepas perlawanan terikat 2-2 di akhir permainan.

Kemenangan itu bertambah manis apabila melayakkan pasukan negara bertanding di Pusingan Separuh Akhir WHWL yang merupakan pentas kelayakan terakhir untuk ke Piala Dunia 2018.

Beraksi di depan kira-kira 1,000 penyokong tempatan, pasukan Itali terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi jaringan padang oleh Maria Garraffo sebelum Malaysia menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi Fazilla Sylvester Silin yang bijak menjaringkan gol padang.

Kesilapan pertahanan Malaysia mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya membawa padah, apabila Itali dihadiakan pukulan sudut penalti yang kemudian bijak disempurnakan oleh Agata Wybieralska pada minit ke-18.

Namun, pasukan kebangsaan sekali lagi bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi jaringan padang oleh Hanis Nadiah Onn untuk menjadikan kedudukan terikat dua sama sehingga separuh babak pertama.

Babak kedua menyaksikan Itali kembali mengatur serangan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya namun kekebalan benteng pertahanan negara diketuai penjaga gawang, Farah Ayuni Yahya berjaya menidakkan peluang gol Itali.

Impian pasukan negara hampir musnah di saat-saat akhir permainan selepas Itali dihadiahkan pukulan sudut penalti, namun percubaan tersebut berjaya ditampan keluar pertahanan Malaysia untuk menjadikan kedudukan 2-2 sehingga tamat permainan.

Farah cemerlang

Penentuan pukulan penalti menyaksikan Farah Ayuni bertindak cemerlang apabila berjaya mematahkan lima daripada enam percubaan oleh pemain Itali sebelum Fatin Shafika muncul wira negara apabila menyempurnakan dua daripada enam percubaan penalti pasukan negara.

Mengulas mengenai perlawanan itu, jurulatih kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata pasukan negara berhak menikmati kejayaan ini selepas satu tahun mengharungi latihan yang berat dalam usaha merealisasikan impian untuk mara ke Pusingan Separuh Akhir WHWL.

"Pemain ini melakukan sesuatu yang orang lain tidak akan buat...selama setahun mereka bangun seawal 5 pagi untuk menjalani latihan selain masuk ke gym 5 kali seminggu semata-mata untuk memastikan kejayaan pada hari ini.

"Kejayaan hari ini merupakan kejayaan buat semua pemain hoki wanita dan juga peminat hoki tanah air," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di sini, hari ini.

Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pasukan pilihan kedua, Ireland menewaskan Wales 2-0 untuk turut mara ke final.

Ireland terpaksa menunggu sehingga minit ke-27 untuk membuka tirai jaringan menerusi Yvonne O'Byrne yang tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Anna O'Flanagan menjadikan kedudukan 2-0 seminit kemudian menerusi jaringan padang untuk mengesahkan tempat ke final.

Aksi final esok bakal melihatkan pertemuan semula antara Malaysia dan Ireland selepas kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan peringkat Kumpulan B dengan kemenangan berpihak kepada Ireland 2-1.

-Bernama

Lihat Komen
ADS